Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM), Datuk Seri Ramli Yusuff bercakap pada sidang media mengenai keputusan kerajaan melaksanakan kenaikan gaji minimum mulai 1Mei ini di Kelana Jaya Business Centre, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 24 MAC 2022.

PETALING JAYA – Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) membantah pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500 oleh kerajaan yang akan berkuat kuasa 1 Mei ini.

Presidennya Datuk Seri Ramli Yusuff berkata, pelaksanaan gaji minimum itu akan memberi implikasi besar kepada industri berkenaan kerana terpaksa meningkatkan kadar perkhidmatan hampir RM12 sejam bagi membolehkan syarikat-syarikat mendapat keuntungan 10 peratus.

Ini kerana industri berkenaan terpaksa meningkatkan pembayaran kerja lebih masa pengawal keselamatan termasuk pembayaran gaji pokok yang boleh mencecah sehingga RM3,000 seorang.

“Tidak dinafikan peningkatan asas setiap jam sebanyak RM1.44 ini adalah kecil pada mata umum. Namun bayaran kerja lebih masa mengikut kadar yang ditetapkan di bawah undang-undang membolehkan seseorang pengawal keselamatan sepenuh masa menikmati peningkatan sara hampir RM700 sebulan,” katanya ketika sidang media di sini.

Beliau berkata, situasi ini akan menekan syarikat pengawal keselamatan yang perlu peruntukan besar bagi gaji besar setiap bulan, yang akhirnya mengundang risiko gulung tikar kepada kumpulan perkhidmatan berkenaan.

Dakwa beliau, sekiranya syarikat-syarikat di bawah industri keselamatan tidak mampu meneruskan operasi, dikhuatiri akan wujud sindiket-sindiket yang menawarkan perkhidmatan ini dan memanipulasi pekerja asing.   

“Kami yang terpaksa bayarkan advanced (tambahan) semua ini, untuk selaraskan gaji kami perlu guna duit kami dahulu.

“Jadi apabila kerajaan tidak tangguh, semua ahli (PKIM) tidak boleh bayar kadar gaji baharu, kita takut kita semua akan gulung tikar dan nanti diganti dengan sindiket pula.

”Bayar pekerja asing dengan gaji murah dan orang tempatan sudah tentu tidak mahu, lalu meningkatlah lagi pekerja asing dalam negara,” hujahnya.

Ramli turut mendakwa, kerajaan sehingga kini gagal membayar jumlah bayaran perkhidmatan keselamatan sebanyak RM54 juta meskipun belum menukar kepada kadar gaji yang baharu.

“Hakikatnya sejak pelaksanaan Perintah Gaji Minimum RM1,200 syarikat-syarikat hanya mampu mendapat keuntungan tiga hingga lima peratus sahaja kerana pihak kerajaan dan agensi-agensinya serta pelanggan swasta belum bersedia membayar kadar harga perkhidmatan yang sepatutnya.

Kadar itu adalah sebanyak RM9.50 sejam.

Malaham tunggakan pelarasan gaji itu pun kerajaan belum bayar,” tambahnya.

Beliau kesal keputusan menaikkan kadar gaji minimum itu dibuat tanpa perbincangan bersama industri yang berkaitan bagi mengetahui tahap kemampuan masing-masing.

Katanya lagi, walaupun persatuan tersebut telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri, Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia untuk menjelaskan bantahan pelaksanaan gaji minimum baharu, namun tidak ada respons diterima sehingga kini.

“Tolonglah bincang dengan kami terlebih dahulu, sebab kami adalah industri yang terlibat,” tambah beliau.

Menurutnya lagi, PKIM yang bakal mengadakan mesyuarat agung pada 18 April ini untuk meminta pandangan ahli-ahlinya bagi  tindakan lanjut sekiranya kerajaan meneruskan pelaksanaan gaji minimum baharu itu. – MalaysiaGazette