Onn Hafiz ( tengah) mengadakan lawatan ke Kompleks Kastam,Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, hari ini.

JOHOR BAHRU – Persiapan sedang dilakukan kerajaan negeri bagi memastikan keselesaan rakyat Malaysia dan Singapura apabila sempadan negara akan dibuka 1 April nanti.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Kerajaan Persekutuan turut memberi bantuan agar persiapan yang terbaik dapat dilakukan.

“Insya Allah, Johor dengan bantuan Kerajaan Pusat sedang membuat segala persiapan yang termampu untuk memastikan keselesaan rakyat Johor, Malaysia dan Singapura apabila sempadan kita dibuka nanti.

“Saya telah mengadakan mesyuarat penyelarasan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar bagi melihat persediaan pembukaan semula sempadan negara. Terima kasih kepada semua agensi yang terlibat bersama,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Onn Hafiz memberitahu, perbincangan akan diadakan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pembukaan sempadan Malaysia – Singapura.

“Saya juga dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan perdana menteri untuk membincangkan perkara ini,” katanya.

Pada 8 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sempadan negara akan mula dibuka pada 1 April

Beliau berkata, keputusan tersebut bersandarkan kepada tiga perkara asas iaitu berpandukan sains dan fakta terkini berkaitan Covid-19, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara-negara lain dan memberi keselesaan kepada pengembara dengan tidak merumitkan perjalanan mereka.  – MalaysiaGazette