Speaker Azhar Azizan Harun Parliament Dewan Rakyat Covid-19 positive
Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Parlimen petang ini membuat pembetulan keputusan undi belah bahagi usul Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkaitan usul untuk melanjutkan tempoh kuatkuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, hasil semakan terakhir keputusan itu semalam, pihaknya bersetuju untuk menetapkan undi bersetuju 85, bukan 84 yang diumumkan petang semalam.

“YB Jempol, Datuk Seri Salim Sharif memaklumkan berkenaan senarai undi bagi blok D1 semasa undi belah bahagian bagi usul dari Menteri Dalam Negeri yang dijalankan semalam.

“Beliau yang merupakan penghitung undi bagi blok D1, memaklumkan telah terkhilaf menandakan YB Besut, Datuk Seri Idris Jusoh tidak hadir dalam senarai undi walaupun yang sebenarnya YB Besut hadir semasa undian tersebut.

“Oleh itu, saya menggunakan Peraturan Mesyuarat 100 Untuk Meminda Keputusan Belah Bahagian bagi usul dari Menteri KDN, daripada 84 bersetuju kepada 85 bersetuju dan tidak hadir dipinda dari 50 kepada 49 sahaja, manakala 86 tidak bersetuju tetap sama,” katanya ketika memulakan sidang Parlimen sesi petang, hari ini.

Semalam, berikutan kegagalan Ahli-ahli Parlimen kerajaan untuk hadir ke Dewan Rakyat, usul Menteri Dalam Negeri untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan Subseksyen 4(5) Akta SOSMA bagi tempoh lima tahun lagi gagal melepasi undi belah bahagi.

Azhar Azizan ketika mengumumkan keputusan itu berkata, yang bersetuju dengan usul tersebut ialah seramai 84 orang, manakala tidak bersetuju seramai 86 orang.

Sementara itu, 50 lagi Ahli Parlimen gagal menghadirkan diri. – MalaysiaGazette