Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung (Perhilitan) telah mengambil tindakan sewajarnya selepas kemunculan harimau Malaya di Paka, Terengganu baru-baru ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Perhilitan ialah menempatkan lima kakitangan Perhilitan dari Dungun dan dibantu 13 Renjer Hidupan Liar di bawah Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti yang membuat rondaan pemantauan dan siasatan di lokasi aduan.

Menurutnya, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sentiasa mengambil serius isu konflik antara manusia dan hidupan liar khususnya harimau.

“Memang baru-baru ini dilaporkan dan disahkan ada kemunculan harimau di Kampung Santong, Paka.

“Perhilitan sudah mengambil tindakan sewajarnya, siasat dan usaha mengatasinya” katanya ketika menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Parlimen, pagi ini.

Menurut Takiyuddin, tindakan lain yang dilakukan Perhilitan ialah memasang dua perangkap kamera di sekitar Bukit Bauk iaitu salah satu tumpuan rekreasi orang awam.

Katanya, kakitangan dan perangkap itu bagi memantau kehadiran harimau Malaya di kawasan konflik, selain menambah 20 unit lagi perangkap kamera di kawasan sekitar sebagai langkah jangka panjang.

“Perhilitan juga telah memasang dua unit perangkap harimau dalam kawasan ladang Lembaga Minyak Sawit Malaysia di Hulu Paka dan seterusnya langkah diambil untuk mendapatkan kerjasama dengan pihak pengrusan pekerja ladang.

“Mereka diminta supaya melaporkan kepada Perhilitan sekiranya ternampak kelibat harimau di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau menjelaskan, Perhilitan turut mengambil inisiatif memberi khidmat nasihat kepada penduduk kampung dan pekerja ladang di kawasan itu supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak bertindak sendiri dalam menangani konflik harimau di kawasan berkenaan. – MalaysiaGazette