Pengusaha kedai, Farah Syuhada Shamshul (kanan) bersama adiknya Farra Sofea Shamshul (kiri) ketika bersesi gambar di Farine Sucre Kafe, Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 23 MAC 2022.

SHAH ALAM – Tidak dinafikan bahawa Paris adalah salah satu ibu kota kulinari terbaik di dunia selain kota romantis buat mereka yang sedang di lamun cinta.

Seringkali berkunjung ke sana, mencetuskan rasa terpegun dengan keindahan kota Paris, dua beradik ini sanggup membuka cafe gara-gara mendalam terhadap industri makanan dan minuman.

Cafe unik berkonsep dan bertemakan hidangan Perancis ini diusahakan pemiliknya, Farah
Syuhada Shamshul bersama adiknya, Farra Sofea sejak tiga minggu lalu di Seksyen 7, Shah Alam di sini.

Minat yang tinggi, selain mahu memberi perhatian mendorong si kakak yang merupakan bekas penasihat kewangan berjawatan ketua agensi di salah sebuah syarikat takaful di Malaysia rela meninggalkan kerjaya demi membina nama Farine & Sucre.

Pengusaha kedai, Farah Syuhada Shamshul (kanan) bersama adiknya Farra Sofea Shamshul (kiri) menunjukkan hidangan makanan yang terdapat di kafe bertemakan Paris di Farine Sucre Kafe, Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 23 MAC 2022.

“Saya seorang graduan universiti swasta dalam jurusan perniagaan antarabangsa. Sebaik tamat pengajian, saya memulakan kerjaya dalam bidang perbankan di salah sebuah bank terkemuka tanah air sebagai penasihat kewangan,” kata Farah Syuhada membuka bicara.

Beliau yang berusia 28 tahun kemudiannya menyertai syarikat takaful dan menjawat jawatan Ketua Agensi selama dua tahun dan berjaya meraih pencapaian tertinggi antaranya, MDRT 2019, Top 3 Rising Star & Top 3 Rookie 2019.

“Adik saya Sofea pula pelajar sepenuh masa di sebuah universiti swasta tempatan
dan kini sedang menuntut dalam jurusan perakaunan selama empat tahun,” jelas Farah.

Pengusaha kedai, Farah Syuhada Shamshul menunjukkan hidangan makanan yang terdapat di kafe bertemakan Paris di Farine Sucre Kafe, Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 23 MAC 2022.

Kini, gabungan duo beradik yang saling melengkapi dan semakin menyerlah apabila mereka menetapkan hala tuju jelas dalam memperkasakan jenama Farine & Sucre yang  berteraskan visi, misi dan nilai yang memberi pulangan balik kepada masyarakat.

Mengulas mengenai pemilihan nama kafe mereka, Farah Syuhada berkata, Farine & Sucre’ bermaksud tepung dan gula dalam bahasa Perancis.

“Ia sangat bersesuaian dengan tema kami, memandangkan kami terinspirasi dengan konsep cafe ala Perancis yang cukup terkenal dengan keenakan pelbagai hidangan pastri.

”Malah disebalik nama Farine & Sucre terselit nilai sentimental, kerana ia berkait rapat dengan huruf pertama pada nama kami berdua iaitu Farah Syuhada dan Farah Sofea,” tambahnya sambil tersenyum.

Pengusaha kedai, Farra Sofea Shamshul menunjukkan hidangan makanan roti yang terdapat di kafe bertemakan Paris di Farine Sucre Kafe, Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 23 MAC 2022.

Mengenai hidangan tanda kenal atau signature dish, Farine & Sucre memperkenalkan aneka pencuci mulut atau dessert yang sebahagiannya di import khas dari Perancis  seperti macarons, baguettes dan chocolate roll!

“Ini kerana sebahagian pencuci mulut iaitu macarons misalnya, perlu melalui proses
pembuatan yang rumit dan kami mahu memastikan hidangan yang disediakan di Farine &
Sucre hanya yang terbaik dan berkualiti tinggi,” katanya lagi.

Selain hidangan tanda kenal Macarons yang dibawa khas dari Perancis, Pavlova dan Peach strudels juga menjadi antara daya tarikan utama di kafe ini.

Tidak ketinggalan pelbagai pilihan pastri termasuk French baguette yang dihidangkan bersama tiga jenis sos, French onion, cheese chives dan sun dried tomato,  selain pai ayam cendawan, pai daging dan turkey quiche.

“Minuman istimewa yang sering menjadi pilihan pengunjung di sini pula adalah biscoff latte, ferrero rocher latte dan dua daripada empat jenis minuman penyegar iaitu Snow White’s Nightmare dan Pocahontas Journey.

“Minuman penyegar ini cukup unik kerana ia diolah berkonsepkan nama watak puteri-puteri Disney.

“Namun memahami persekitaran pasaran sekitar Shah Alam yang rata-rata terdiri daripada pelajar dan keluarga, kami cuba menyeimbangkan hidangan manisan dan juga berbentuk savori.

“Dari segi citarasa, sesetengah pencuci mulut yang disediakan diolah dari segi rupa dan rasa agar sesuai dengan citarasa lokal juga peringkat usia,” katanya teruja.

Antara hidangan makanan pada kafe sepanjang bulan Ramadan yang bertemakan ‘Ramadan In Paris’ di Farine Sucre Kafe, Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 23 MAC 2022.

Dalam pada itu, bersempena ketibaan Ramadan, Farine & Sucre tidak ketinggalan
menyediakan dua set juadah berbuka puasa setiap hari iaitu set Asian dan set western.

Apa yang menarik, setiap set yang ditawarkan hanya bermula dari RM50.

Antara menu Asian yang disediakan adalah Nasi Beriyani Daging Hitam, Nasi Beryani Ayam Merah, dan Nasi Minyak Ayam Masak Merah, Dalca Sayur dan Acar Timun Nenas manakala menu barat pula, Grilled Chicken Spaghetti, Beef Lasagna, Prawn Spaghetti with Chicken dan Grilled Chicken Macaroni.

Ditanya mengenai persaingan dan risiko dalam industri makanan dan minuman, akuinya F&B adalah satu perniagaan yang penuh dengan cabaran getir.

“Sebagai orang baharu, kami masih berusaha untuk belajar meraih seberapa banyak
pengalaman dalam industri ini. Namun, dalam tempoh masa lima tahun akan datang, kami berhasrat untuk kekal utuh dengan pilihan menu kami.

“Di samping memulakan pengeluaran kami sendiri dalam skala yang lebih besar sambil
mempelbagaikan sasaran pasaran, kami juga berhasrat untuk berkolaborasi dengan
perniagaan tempatan lain, di bawah naungan Farine & Sucre demi mengukuhkan lagi jenama kami,” kata Farah Syuhadah.

Bagi anda yang mahu menikmati kopi dan hidangan pastri serta dessert unik dalam suasana dan gaya ala Perancis, jom singgah ke Farine & Sucre Cafe di No 7A, 1, Jalan Plumbum R7/R, Seksyen 7, 40000 Shah Alam Selangor.

Cafe itu beroperasi bermula 12 tengah hari sehingga 10 malam dan tutup pada Khamis. –  – MalaysiaGazette

Pengusaha kedai, Farah Syuhada Shamshul (kanan) bersama adiknya Farra Sofea Shamshul (kiri) ketika bersesi gambar di Farine Sucre Kafe, Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 23 MAC 2022.