Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) mendedahkan sifatnya yang sebenar apabila menolak pindaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Lantaran itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi menzahirkan ucapan terima kasih kepada pembangkang.

“Terima kasih bukan kerana SOSMA tidak penting atau PH berjaya memalukan kerajaan sebaliknya kerana mereka mendedahkan lebih awal tembelang sebenar.

“Mereka katakan tidak dirundingi lebih awal hanya alasan sahaja. Niat sebenar perjanjian persefahaman (MoU) itu daripada awal sudah diragui.

“Semua pihak yang terbabit merangka MoU itu perlu dipertanggungjawabkan. Tidak perlu berdolak dalik. Anggap sahaja MoU itu gagal dan terbatal,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Mohd Puad yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Rengit ini berkata, MoU itu tidak ada ‘legal binding’ dan ia merupakan persafahaman.

“Daripada terus menyusahkan diri dan rakyat cari segera jalan keluar.

“Jalan keluar terbaik ialah segerakan Pilihan Raya Umum Ke-15,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa turut menyatakan pendirian sama yang mana MoU antara kerajaan dan pembangkang terbatal apabila usul kerajaan ditolak.

Semalam, Dewan Rakyat menolak untuk meminda Akta SOSMA bagi membolehkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA yang akan berakhir 31 Julai ini dilanjutkan lima tahun lagi.

Sebelum ini kuat kuasa peruntukan akta yang dilaksanakan pada 2012 itu telah dilanjutkan pada 2017.

Usul tersebut gagal apabila keputusan undi belah bahagi menyaksikan 84 ahli Parlimen bersetuju, 86 menolak dan 50 lagi tidak hadir. – MalaysiaGazette