Wakil daripada University of Oxford, Professor Sarah Lewington (tiga dari kiri), menerima cenderahati daripada delegasi UKM yang mengadakan lawatan kerja ke universiti itu baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi universiti pertama Malaysia yang menerajui kajian pengimejan melalui DXA berskala besar di peringkat antarabangsa bersama University of Oxford, United Kingdom (UK) yang mensasarkan bidang kajian obesiti dan penyakit tidak berjangkit yang semakin berleluasa di Malaysia dan di seluruh
dunia.

Penyelidikan dengan tajuk Obesiti dan penyakit tidak berjangkit di Malaysia: Kajian pengimejan terhadap 6,000 orang dewasa dalam Kajian Kohort Malaysia diketuai bersama oleh Prof Sarah Lewington dari Nuffield Department of Population Health, University of Oxford dan Prof Madya Dr Nor Azian Abdul Murad, daripada Institut Perubatan Molekul UKM (UMBI) dengan dana penyelidikan berjumlah RM994,000 daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Malaysia.

Naib Canselor UKM, Prof. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, buat masa ini, tiada kajian pengimejan melalui DXA mahupun MRI berskala besar di Malaysia untuk pengukuran langsung lemak badan bagi membolehkan penyelidik memahami hubungan antara komposisi badan dengan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan penyakit jantung.

Oleh itu, katanya, kajian tersebut bertujuan untuk memahami perkaitan obesiti dalam menyebabkan penyakit diabetis dan penyakit jantung (CVD).

“Selain itu, perbandingan antara kepelbagaian kumpulan etnik di Malaysia dan di UK juga dapat dilakukan. Kaedah baharu seperti DXA dan MRI dapat digunakan bagi mengesahkan instrumen konvensional BMI (body mass indeks) atau pun dikenali sebagai indeks jisim tubuh,” katanya.

Beliau berkata dalam kajian itu, UMBI akan melakukan 6,000 pengimejan DXA serta 100 pengimejan MRI (dengam kerjasama bersama Jabatan Radiologi, Fakulti Perubatan, UKM dan University of Westminster, UK) bagi menilai komposisi badan dalam kalangan peserta The Malaysian Cohort (TMC).

”Kolaborasi penyelidikan ini membolehkan perpindahan teknologi terutamanya kaedah analisis data yang dilakukan antara kedua-dua pihak,” jelasnya.

Katanya, kerjasama penyelidikan ini dapat memberi impak yang besar kepada sistem kesihatan di Malaysia terutamanya dalam pembangunan dan penggunaan BMI baharu yang bersesuaian dengan populasi Asia khususnya penduduk di Malaysia.

”Buat masa ini, BMI yang digunapakai adalah daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan diklasifikasikan mengikut: BMI< 18.5 (kurang berat badan), BMI 18.5 – 25 (normal), BMI 25 – 30 (lebihan berat badan) dan BMI >30 (obesiti), yang berdasarkan populasi Caucasian.

”Oleh itu, adalah penting untuk menentukan apakah julat normal bagi lebihan lemak badan daripada setiap kumpulan etnik di Malaysia agar julat yang lebih tepat dapat diperkenalkan.

”Penggunaan klasifikasi yang tepat adalah penting untuk intervensi berkesan bagi membendung peningkatan kesan berkaitan obesiti seperti penyakit diabetes jenis II dan juga penyakit jantung,” katanya.

”Menurut beliau, projek itu juga berpotensi meningkatkan kerjasama bersama industri terutamanya dalam mengenalpasti kaedah rawatan terbaik yang melibatkan penyakit jarang jumpa yang spesifik bagi obesiti seperti kekurangan Proopiomelanocortin (POMC), kekurangan reseptor leptin (LEPR), bardet-Biedl Syndrome (BBS), Alstrom syndrom, dan Prader-Willi syndrome.

“Kajian lanjutan berkait genetik boleh dilakukan bagi mengenalpasti variasi penyebab dan pelindung bagi obesiti. Banyak lagi projek kolaborasi penyelidikan yang sedang dirancang bersama University of Oxford.

Usaha ini sejajar dengan agenda pengantarabangsaan UKM khususnya perkongsian pintar dengan universiti tersohor di dunia.

”Perancangan projek UKM Health Technopolis juga meletakkan jaringan kolaborasi penyelidikan dan pembangunan teknologi sebagai pemacu penyelidikan asas dan translasi,” kata Mohd Ekhwan yang mengetuai lawatan kerja UKM ke United Kingdom pada 17 Mac lepas sambil melawat Big Data Institute, Nuffield Department of Population Health, University of Oxford bagi melonjakkan kolaborasi antarabangsa.

Antara perbincangan dua hala yang melibatkan kedua-dua universiti itu ialah kerjasama dan kolaborasi yang lebih erat dalam bidang kepakaran, penyelidikan berimpak tinggi, pertukaran pelajar, pengajaran dan geran penyelidikan antarabangsa.

Katanya, UKM sedang bergerak ke arah penubuhan Health Technopolis dan penglibatan Big Data dan Digital Health adalah bidang penting bersama rakan strategik seperti University of Oxford. – MalaysiaGazette