Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim. Foto AMIRUL SHAUFIQ 26 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Polis dan media perlu memainkan peranan lebih erat bagai ‘isi dan kuku’ dalam menyalurkan maklumat tepat kepada warga ibu kota.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kerjasama polis dan media yang terjalin selama ini benar-benar diterjemah tepat dengan tema Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 Tahun 2022 hari ini.

”Kalau setiap maklumat yang dikongsi ketua-ketua polis daerah dan jabatan dapat disusun dan ditulis serta disalurkan dengan pantas, ia akan membantu warga kota mendapat perkembangan situasi terkini yang berlaku sekeliling mereka.

”’Jika kerjasama polis dan media ini terus kekal utuh, saya pasti kita boleh menjamin keamanan dan kesejahteraan masyarakat kota setiap masa,” katanya pada Majlis Ramah Mesra High Tea Ketua Polis Kuala Lumpur bersama rakan media.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama semua ketua-ketua polis daerah Kuala Lumpur agar meneruskan kerjasama itu demi memastikan hubungan silaturrahim terus terpelihara.

“Kalau call (buat panggilan) tak dapat maklumat dari ketua polis daerah berkenaan, rakan media boleh memaklumkan saya. Kalau lebih banyak maklumat yang boleh dikongsi kepada media untuk disiarkan lagi baik dan saya mengalu-alukan.

“Setiap hari saya nak tengok siapa dan berapa kerap berita polis yang bersifat kemasyarakatan dilaporkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azmi berkata, beliau turut dapat mengesan berita yang tersimpang daripada maklumat yang dikongsi

”Kita cakap menghala ke utara tapi laporan itu menghala ke selatan pula. Saya percaya rakan-rakan media lebih berhati-hati selepas ini dalam melaporkan maklumat yang kami salurkan kepada anda untuk masyarakat,” ujar beliau. – MalaysiaGazette