Sesi fotografi bersama penyanyi, Datuk Ramli Sarip selepas sidang media mengenai program Rasa Cinta Di Sebalik Musim di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Ketika ramai penyanyi tampil dengan album single, penyanyi lagenda Datuk Ramli Sarip berani dengan album penuh berjudul Rasa.

Kebetulan mempunyai bahan lagu, kelahiran sebuah album impaknya berbeza berbanding single, katanya yang sinonim dengan gelaran Papa Rock.

Menurutnya, album berkenaan dihasilkan dalam tempoh lebih kurang dua tahun semasa pandemik Covid-19 mula melanda negara.

Walaupun Covid-19 membelenggu satu dunia sehingga mengekang aktiviti anak seni sepertinya, namun Ramli terus aktif.

Bergelar anak seni lebih setengah abad, Ramli berkata, berdepan dengan pandemik Covid-19 memang mencabarnya untuk terus berkarya.

”Sebenarnya saya tidak berehat. Kalau berehat kita akan jadi penat dan bosan.

“Kita perlu lebih bersedia berhadapan dengan cabaran. Keluhan-keluhan selalu berlaku apabila tidak bersedia pandemik ini berlaku.

“Sebenarnya perjalanan seni dalam Covid-19 ini ada satu hikmah, indah dan mengajar saya berdikari dan lebih yakin lagi,” katanya ketika sidang media yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu kota, hari ini.

Ramli Sarip

Menurut penyanyi tersohor ini, sepanjang dua tahun lalu, rezekinya tidak pernah putus.

Beliau masih menerima tawaran penyanyi secara atas talian berskala kecil dan sederhana.

”Alhamdulillah dalam dua tahun ini Allah kurniakan saya album yang cukup bermakna. Ia hasil resipi dan ramuan terbaik,” katanya sambil menyifatkan Rasa menampilkan lagu-lagu seiring dengan perbezaan zaman.

Namun, beliau masih memilih lirik-lirik yang berkesan.

”Dalam album yang susahnya adalah lagu itu kena ada kelainan tapi lirik masih penting. Kita mahu anak muda dapat rasa kedewasaan dengan lagu yang tinggi nilai dan mutunya,” tambah beliau.

Ramli bakal mempromosikan album Rasa menerusi Majlis Amal Berbuka Puasa Rasa (Cinta Di Sebalik Musim) yang akan diadakan pada 24 April ini.

Majlis berkenaan merupakan anjuran Mukmin Pay Sdn Bhd dengan sokongan Konsortium Irama, bertujuan untuk mengumpul dana membantu penggiat seni yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menyedari, majlis berkenaan akan berlangsung pada 10 malam terakhir bulan Ramadan, Ramli akan memastikan persembahannya tidak akan berlebihan dalam berhibur.

Meja Super VVIP akan dijual dengan harga RM15,000 manakala VVIP pula berharga RM10,000.

Sementara itu,  meja kategori VIP dijual pada harga RM7,000; Platinum (RM5,000) dan Gold RM3,000). – MalaysiaGazette