Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar bercakap kepada media selepas merasmikan Majlis Konvensyen Ke-14 Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur di Dewan Matrade, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 26 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan bekerjasama dengan kelab bola sepak Liga Super Malaysia, Kedah FC untuk mendekati golongan muda.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, usaha itu akan melibatkan beberapa kelab bola sepak di bawah Majlis Agama setiap negeri untuk bergabung dalam satu perlawanan liga kompetitif.

“Pemenang dalam perlawanan nanti akan mendapat kelebihan untuk bermain dengan pasukan Kedah FC di Stadium Darul Aman,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Ke-14 Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur di Dewan Matrade, di sini, hari ini.

Tambah Daud yang juga penaung Kedah FC, cadangan berkenaan melibatkan pasukan bola sepak dalam kalangan ahli masjid, surau, tahfiz dan sekolah agama di bawah Majlis Agama Islam negeri masing-masing.

Sementara itu, katanya, MAIWP akan meneruskan tradisi memartabatkan agenda pendidikan dalam kalangan asnaf.

Menurutnya, hanya ilmu dan kemahiran yang boleh membawa golongan asnaf untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Wang di saku tidak boleh mengeluarkan asnaf dari kemiskinan, tetapi wang di minda pasti boleh membuahkan hasil,” katanya.

Dalam pada itu, pemberian biasiswa kepada penuntut asnaf di bawah institut kelolaan MAIWP masih diteruskan melalui tawaran skim latihan kursus pelbagai bidang dengan jaminan pekerjaan.

Sehubungan itu, MAIWP mempelawa mana-mana agensi yang berminat untuk bekerjasama dalam mencetuskan lebih banyak skim latihan yang menjaminkan pekerjaan. – MalaysiaGazette