Khairy Jamaluddin

SEPANG – Mesyuarat Jemaah Menteri semalam bersetuju bahawa penolakan Ahli Parlimen pembangkang terhadap usul pindaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak melanggar Memorandum Persefahaman (MoU).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, isu tersebut telah dibincangkan oleh anggota Kabinet dan mendapati usul yang ditolak Ahli Parlimen pembangkang tidak melibatkan perkara penting sehingga membatalkan MoU yang telah dimeterai.

Menurut Khairy Jamaluddin, terdapat dua perkara penting dalam MoU yang tidak boleh disentuh oleh pembangkang iaitu melibatkan rang undang-undang perbekalan atau bajet yang perlu dipersetujui serta usul berkaitan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.

“Kalau undang-undang biasa dia tidak terpakai seperti usul SOSMA dan lain-lain. Sebab ia tidak bermaksud bahawa sudah hilang kepercayaan kepada kerajaan

“Dia (pembangkang) tidak bersetuju kepada peruntukan SOSMA sahaja bukan menentang kerajaan dan pembangkang pun sebut mereka tidak bermaksud menarik sokongan kepada MoU.

“Ini hanya kerana mereka tidak bersetuju dengan usul SOSMA sendiri, lanjutan peruntukan penahanan 28 hari,” kata Khairy Jamaluddin dalam siding akhbar hari ini.

Tiga hari lalu, Dewan Rakyat gagal meluluskan usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk tempoh lima tahun lagi.

Usul itu ditolak selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 84 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen tidak menyokong, selain 50 Ahli Parlimen tidak hadir.

Kegagalan usul itu menyebabkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA selepas 31 Julai depan.

Beberapa pihak berkata, tindakan Ahli Parlimen Pembangkang tersebut menunjukkan bahawa Pakatan Harapan telah melanggar MoU yang telah buat dengan Kerajaan dan menyebabkan perjanjian itu terbatal dan membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 dilaksanakan segera.

Khairy Jamaluddin sebelum itu melancarkan program sukarelawan MyChampion.

Program tersebut mensasarkan penyertaan 10,000 orang yang akan terlibat secara aktif dalam menyebarkan kesedaran berkaitan kesihatan kepada masyarakat umum. -MalaysiaGazette