Jet pejuang F-35. foto Twitter

SEOUL – Tentera udara Korea Selatan semalam melaksanakan latihan membabitkan pesawat pejuang, F-35, yang mampu mengelak daripada dikesan radar, bagi menunjukkan kekuatan sehari selepas Korea Utara melancarkan ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM).

Menteri Pertahanan, Suh Wook yang menyelia latihan ‘Elephant Walk’ dag mengarahkan tentera mengekalkan kesiapsiagaan berdasarkan ‘kuasa yang tidak dapat dilihat’ F-35, kata Kementerian Pertahanan.

Ia tidak mendedahkan lokasi latihan atas sebab-sebab keselamatan, lapor Yonhap.

Latihan tersebut menandakan kerahan secara besar-besaran pertama yang dilakukan terhadap pesawat stealth selepas tentera udara selesai menempatkan 40 pesawat F-35A pada Januari lalu.

“Menggunakan jet pejuang stealth F-35A, kami perlu mengekalkan siap siaga sepenuhnya untuk mencapai kemenangan strategik (dalam sebarang pertempuran) dan menghalang tindakan tambahan Korea Utara,” kata Suh.

Latihan itu merupakan sebahagian daripada usaha menunjukkan keupayaan Korea Selatan selepas Pyongyang melakukan pelancaran peluru berpandu ke-12 pada tahun ini yang didakwa ICBM Hwasong-17.

Sebaik sahaja peluru berpandu itu dilancarkan, tentera Korea Selatan melaksanakan latihan bersama membabitkan peluru berpandu seperti Hyunmoo-2 yang merupakan peluru berpandu darat ke darat dan dua pelancaran JDAM, peluru berpandu udara ke darat. – Agensi

(https://en.yna.co.kr/view/AEN20220325009051325?section=national/defense)