Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR – Kerajaan boleh mendapat majoriti mudah sekiranya Datuk Seri Hamzah Zainuddin menyambung ucapan usul pindaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah) Khas 2012 (SOSMA) untuk beberapa minit lagi ketika itu.

Ini kerana, sebaik Menteri Dalam Negeri (KDN) itu habis menggulung dan Speaker Dewan Rakyat mengarahkan diadakan undi belah bahagi, empat Ahli Parlimen kerajaan, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Zahidi Zainul Abidin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Tiong King Sing baru masuk dewan.

Bagaimanapun, mereka tidak dibenarkan mengundi kerana dianggap sudah terlewat, disebabkan Tan Sri Azhar Azizan Harun menerima bantahan daripada Ahli Parlimen blok pembangkang.

Ini didedahkan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam satu majlis di Perlis semalam, yang memberitahu, kerajaan tidak kalah, tetapi menganggapnya keputusan 85-86 itu sebagai ‘kemenangan tertangguh’.

Beliau mengkritik keras Ahli Parlimen kerajaan yang tidak hadir pada masa pengundian bagi menyambung Akta SOSMA di Dewan Rakyat Rabu lalu, sebaliknya membuat kenyataan konon kerajaan hilang keyakinan.

“Apa yang berlaku di Parlimen kelmarin (Rabu), apabila Menteri dapat maklumat Ahli Parlimen kerajaan tidak cukup, dia sepatutnya sambung bercakap… kerana (kalau) dia tidak sambung bercakap, akhirnya empat Ahli Parlimen yang datang ketika itu tidak boleh mengundi sebab pihak pembangkang bising.

“Padahal empat Ahli Parlimen ini masuk ke dewan sebelum diumumkan mengundi. Mereka sepatutnya dibenarkan mengundi. Masa itu Ahli Parlimen kerajaan ada 84 orang, yang datang lewat itu ialah Anuar Musa, Zahidi Zainul Abidin, Azmin Ali dan Tiong King Sing. Jadi, jumlahnya 88 orang, pembangkang 86 orang.

“Dari segi undi bukan kita (kerajaan) kalah, tapi kemenangan tertangguh, bukan kita tolak pun, dan SOSMA ini kita akan bawa bulan Julai,” kata beliau yang dipetik sebagai berkata dalam satu majlis di Perlis, semalam.

Menurut Shahidan, selepas keputusan yang tidak memihak kepada kerajaan itu, heboh di luar sana mendakwa kerajaan telah hilang kepercayaan, sedangkan bukan itu sebenarnya yang berlaku.

“Orang kata kita hilang kepercayaan, tidak. Jangan kata kerajaan hilang kepercayaan, kena tanya kenapa orang lain (Ahli Parlimen kerajaan) tidak hadir.

“Tugas Ahli Parlimen ialah hadir Parlimen. Ini dia nak sembunyi dia tak hadir, dia kata kerajaan hilang kepercayaan, tidak. Awak Ahli Parlimen, kenapa tak hadir? Kena hadirlah, tugas Ahli Parlimen ialah hadir.

“Dia (mereka) kata ‘berniaga’, tak boleh… ‘berniaga’ nombor dua. Ahli Parlimen nombor satu ialah wakil kepada rakyat. Rakyat nak Ahli Parlimen hadir Parlimen. Jangan gi komplen (kata) kerajaan hilang kepercayaan,” tegasnya dengan nada marah.

Katanya, beliau berang kerana yang menyatakan kerajaan hilang keyakinan itu adalah Ahli Parlimen kerajaan yang tidak hadir ke Parlimen untuk mengundi.

“Bising kata kerajaan sudah hilang konfiden, yang bercakap itu adalah Ahli Parlimen sendiri, tetapi mereka tidak hadir Parlimen.

“Kalau ikut zaman dulu, orang yang tidak hadir Parlimen kena ambil tindakan. Sekarang ini mereka seronok, bebas untuk mengkritik dan sebagainya.

“Mereka lupa mereka yang tidak hadir itu kena dipersoalkan kenapa mereka tidak hadir menyebabkan kita kalah,” kata beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kalut nampak Pak Dan ni ..sayang ker jawatan yang akan hilang bila pru . Tak seronok hidup bila pangkat dan jawatan tak ada ..

Comments are closed.