Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali bercakap kepada media ketika di bilik gerakan di DUN Paya Rumput, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 07 NOVEMBER 2021.
Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Kerajaan patut mengambil iktibar daripada gerakan revolusi berlaku di kebanyakan negara pada zaman dahulu disebabkan kegagalan pemerintah menangani kenaikan harga barang keperluan.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali menegaskan, di Malaysia juga isu kenaikan harga barang keperluan ini hampir setiap hari membelenggu rakyat.

Katanya, rakyat faham negara berdepan dengan pandemik Covid-19 selama lebih dua tahun walaupun akan beralih ke fasa endemik 1 April ini, tetapi keadaan ekonomi masih jauh daripada selesai dalam masa terdekat ini.

“Malah, makin teruk. Saya pergi ke pasar di sekitar Kuala Lumpur dan Kelantan, rata-rata rakyat iaitu pembeli dan penjual merungut dengan kenaikan harga ini. Semuanya mengeluh kerana serba serbi naik.

“Kenaikan pula tidak masuk akal langsung terutama barang keperluan seperti telur, ayam, daging, sayur, bawang, lada dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Menurut bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu, selepas ini harga bertambah naik dengan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 pada 1 Mei ini, sekali gus menyaksikan kegagalan kerajaan menangani masalah itu.

“Kalau kenaikan harga barang ini gagal ditangani tunggulah masa rakyat akan bangkit, berlakunya revolusi pembemrotakan kudeta tentera dulu berpunca dari kenaikan harga barang keperluan rakyat.

“Apakah kesudahannya? Kerajaan patut dengan segera menubuhkan Jawatankuasa Task Force Negara yang betul-betul berwibawa dan kuat dengan mekanisme yang boleh mencari jalan bagaimana harga barang dapat diturunkan.

“Takkan tak ada idea, kita ada berapa ramai profesor, cerdik pandai, ahli korporat, tokoh akademik dan pakar kewangan, mustahil tidak boleh cari jalan macam mana hendak pulihkan kedudukan ekonomi negara walau dalam pandemik,” ujar beliau.

Beliau berkata, memang Malaysia terjejas kerana banyak sebab iaitu pandemik Covid-19 dan ditambah dengan isu rasuah menyebabkan pelabur tidak lagi yakin dengan ketelusan kerajaan dan mereka lari ke negara lain.

Kata Ibrahim, ada pelabur yang mula melabur di Malaysia berpindah ke Indonesia dan Arab menyebabkan ekonomi negara terjejas teruk dan peluang pekerjaan untuk rakyat hampir lumpuh.

“Tetapi, jawatan di peringkat kerajaan banyak, penasihat Perdana Menteri ada berapa orang bertaraf menteri termasuk penasihat bertaraf menteri ke China, Timur Tengah dan India.

“Jawatan ini dibuka seolah Malaysia tidak cukup dengan duta yang ada, tetapi semua ini pun masih juga tidak boleh selesaikan masalah kenaikan harga barang,” katanya.

Beliau mengingatkan rakyat supaya tidak lupa sepanjang pandemik Covid-19 di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membelanjakan hampir RM600 bilion dalam urusan mentadbir negara terutama hendak menangani wabak itu.

Katanya, duit itu digunakan ketika kerajaan mengisytiharkan darurat, tetapi keadaannya tidak banyak beza, yang akhirnya darurat ditarik balik, namun duit habis begitu saja.

“Rakyat tidak tahu macam mana kerajaan belanja itu termasuk menggunakan kumpulan wang amanah negara sebanyak RM5 bilion untuk membeli vaksin.

“Siapa yang dapat kontrak bekal dan beli vaksin ini? Dan timbul pula isu setiap rakyat perlu ambil vaksin walaupun kerajaan kata tidak wajib.

“Tetapi tanpa Mysejahtera dan tanpa vaksin, pergerakan rakyat terhad seolah dipaksa walaupun dikatakan tidak paksa. Inilah tekanan dihadapi rakyat sampai sekarang,” katanya. – MalaysiaGazette