Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau dan UMNO bersangka baik terhadap pembangkang selepas menandatangani persefahaman transformasi (MoU) dengan kerajaan.

Presiden UMNO itu berkata, beliau menyangkakan selepas MoU itu, apa saja usul berkaitan dengan kepentingan dan keselamatan rakyat mendapat sokongan pembangkang.

Bagaimanapun, katanya, pihak itu umpama harapkan pegar, pegar makan padi dan mengharapkan sokongan Pakatan Harapan (PH), sokongan membawa rebah.

“Saya mendapat maklum balas bahawa Pakatan Harapan menyalahkan ahli Parlimen bukan PH kerana tidak ada dalam dewan Parlimen.

“Sdr YB Fahmi Fadzil siap masuk dalam FB memberitahu hal ini.

“Untuk pengetahuan YB Fahmi Fazil, saya dan rakan wakil rakyat lain cuba berbaik sangka bahawa PH tak akan bertindak sedemikian kerana terlalu percaya persefahaman bersama PH sudah diikat kemas. Tidak ada apa yang dirisaukan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, petang ini.

Beliau mengulas kekalahan kerajaan mempertahankan usul pindaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang dibentangkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di sidang Parlimen, Rabu lalu.

Dalam undi belah bahagi itu, undi bersetuju bagi pihak kerajaan 85 orang, manakala undi tidak bersetuju dibelah pihak pembangkang 86 orang.

Dengan keputusan undi itu, maka pindaan Akta SOSMA untuk melanjutkan perkara penahanan pesalah selama 28 hari tanpa bicara tidak mendapat persetujuan.

Berikutan itu, pembangkang memainkan batu api dengan menyalahkan Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) punca penyebab kekalahan bagi pihak kerajaan.

Mereka meletakkan kesalahan itu kepada Ahmad Zahid dan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak, sedangkan pada hari pengundian itu, Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga tidak hadir, tetapi tidak dikaitkan dengan kekalahan itu.

“Ramai lagi tidak hadir termasuk Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Sungguh pelik. Semua diletak salah di bahu UMNO.

“Semoga kita semua belajar daripada episod ini,” kata beliau. – MalaysiaGazette