Seramai 16 wanita warga asing disyaki menjadi GRO di sebuah restoran diserbu dan dicekup polis malam tadi.

KUALA LUMPUR – Sebuah restoran yang disyaki menyediakan khidmat wanita warga asing sebagai pelayan pelanggan (GRO) akhirnya menerima akibatnya apabila diserbu polis.

Restoran yang terletak di Jalan Sungai Besi di sini diserbu polis pukul 5. 40 petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, hasil serbuan polis berjaya menahan seramai 18 individu termasuk 16 daripadanya merupakan wanita warga asing disyaki GRO.

“Kita menahan seorang wanita tempatan yang juga penjaga GRO, seorang lelaki tempatan disyaki pembantunya serta DJ (penyampai) dan 16 wanita asing iaitu 13 wanita warga China dan tiga lagi warga Vietnam yang bekerja sebagai GRO di restoran itu” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Habibi, pemeriksaan awal mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen perniagaan sah dan dipercayai beroperasi secara haram sebagai mencabar pihak berkuasa dan menyalahi undang-undang yang ditetapkan.

“Menerusi serbuan itu, kita berjaya merampas pelbagai peralatan audio yang digunakan di restoran itu,” katanya.

Justeru turut dirampas adalah jadual kerja membabitkan GRO warga asing itu bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6 (1) (c) akta sama dan Seksyen 4 (1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992.-MalaysiaGazette