Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin melakukan walkabout meninjau persiapan akhir di tempat pameran dan persidangan Defance Service Asia (DSA) yang ke-17 dan National Security (NATSEC) di MITEC, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 27 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Selepas empat tahun berlalu, Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Perkhidmatan Keselamatan Asia (NATSEC) 2022 yang dinantikan para pemain industri pertahanan tempatan dan antarabangsa bakal membuka tirai secara rasmi esok.

Pameran pertahanan dan keselamatan itu berlangsung selama empat hari bermula 28 sehingga 31 Mac ini selepas berjaya melangkaui kejayaan penganjuran selama dua dekad lalu.

Acara dwitahunan yang kali terakhir diadakan pada 2018 itu kali ini dianjurkan dengan tema Advancing into a New Era of Defence and Security dan disertai lebih 1,000 pempamer dalam dan luar negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, DSA dan NATSEC 2022 adalah pameran antarabangsa yang pertama dan juga terbesar selepas negara dan dunia dilanda Covid-19.

“DSA kali ini kita menjangkakan seramai 25,000 pengunjung dari 50 buah negara ke pameran ini termasuk 4,800 pengunjung antarabangsa termasuk delegasi, pakar bidang pertahanan dan keselamatan dan media tempatan serta antarabangsa.

“Yang paling penting adalah Malaysia menjadi hos kepada lebih 350 orang kenamaan (VIP) dari 45 negara,” katanya selepas mengadakan walkabout persiapan akhir ke tapak Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Perkhidmatan Keselamatan Asia (NATSEC) 2022 di sini hari ini.

Tambah Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong itu lagi, sebanyak 1,170 syarikat dari 54 negara akan mempamerkan pelbagai produk teknologi terkini serta peralatan pertahanan yang canggih dan ke hadapan di lapangan darat, udara, laut, membabitkan dunia siber, kawalan sempadan, kepintaran, kesihatan perang, sistem perlindungan dan sebagainya.

“Lebih menarik terdapat 20 negara kumpulan pavilion akan memeriahkan pameran kali ini adalah Turki disusuli Malaysia, Amerika Syarikat, Perancis, India, Jerman, , United Kingdom, Austria,Itali, Azerbaijan, Republik Czech, Indonesia, Norway, Pakistan, Slovakia, Sepanyol, Korea Selatan, Switzerland, China dan Belanda,” katanya.-MalaysiaGazette