Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Masyarakat diingatkan supaya membiasakan diri dengan konsep kawalan diri sebagai langkah bagi mencapai tahap kesejahteraan kewangan yang positif.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini kerana salah satu kekecewaan utama warga emas di seluruh pelosok dunia adalah tidak merancang kewangan mereka semasa zaman muda.

Menurutnya, faktor utama untuk memastikan kesejahteraan kewangan adalah dengan membuat perancangan rapi seawal yang mungkin.

“Pernah tak anda dengar tentang Warren Buffet? Beliau merupakan salah seorang pelabur yang paling berjaya dan terkemuka di dunia.

“Warren mula menyimpan dan melabur pada usia seawal 10 tahun dan sering kali mengutarakan bahawa salah satu faktor utama penentu kejayaan kewangan beliau adalah mengamalkan konsep simpanan dan pelaburan pada usia yang muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Bengkel Pengurusan Kewangan My Money & Me, sempena Global Money Week 2022 secara maya semalam.

Dengan mengambil pepatah ‘ukur baju di badan sendiri’ Zafrul berkata, percaya atau tidak, kawalan diri akan membolehkan individu mengagihkan simpanan dan berjinak-jinak dengan dunia pelaburan serta menerajui pelan-pelan takaful dan insurans yang sedikit sebanyak akan membantu memastikan tahap kesejahteraan kewangan.

Beliau menyarankan agar golongan muda membaca buku Psychology of Money karangan Morgan Housel.

Katanya, buku tersebut mengetengahkan konsep simpanan, pentingnya membuat simpanan dan pelaburan pada usia muda dengan yang paling penting adalah gaya hidup masing-masing.

“Saya faham akan kehendak anak-anak muda zaman sekarang tetapi kita harus juga ingat tentang masa depan dan mula mengamalkan konsep pengurusan kewangan yang positif,” ujarnya. – MalaysiaGazette