Sebanyak 278 saman dikeluarkan Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR –  Sebanyak 278 saman telah dikeluarkan Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL) atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi di ibu kota bermula 25 hingga 27 Mac lalu.

Selain itu, sebanyak 12 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Saleh berkata, operasi dilakukan dengan kekuatan enam pegawai kanan dan 40 pegawai rendah di sekitar pusat bandar, Jalan Genting Klang, Jalan Kuching, Jalan Tun Razak dan Lebuhraya AKLEH.

“Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak JPJ serta diarahkan mengubah ke struktur asal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam operasi yang sama, pihak JSPT KL telah berkolaborasi dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan telah mengeluarkan sebanyak tujuh saman terhadap penunggang motosikal yang telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 katanya.

Lima orang lelaki dan seorang wanita dalam lingkungan umur 18 hingga 21 tahun yang menunggang dalam keadaan merbahaya dan melakukan aksi zig- zag, roket, Superman  dituduh di bawah Seksyen 42(1) 1987 APJ kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain.

Seterusnya, 15 individu lelaki  dalam lingkungan umur 26 hingga 61 tahun  ditahan  di bawah Sek 45(A) APJ 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Katanya lagi, kesemua tangkapan telah dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur

Selain itu,  seorang lelaki berumur 21 tahun yang menunggang motosikal disyaki dicuri ditahan dan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379A KK.

Oleh itu, tangkapan telah diserahkan kepada Balai Jinjang untuk tindakan selanjutnya.- MalaysiaGazette