Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tidak hadir Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Lembah Pantai kerana disahkan positif Covid-19.

Perkara berkenaan dimaklumkan seorang petugas parti yang memberitahu, isteri Presiden PKR itu yang sepatutnya dijadual merasmikan mesyuarat tersebut di Connexion (CCEC), Nexus Bangsar South di sini mengetahui dirinya dijangkiti Covid-19 pagi tadi.

Katanya, disebabkan itu mesyuarat yang sepatutnya bermula pukul 1 tengahari terpaksa ditunda ke pukul 2 petang untuk perasmian yang akan diganti oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution.

“Datuk Seri (Wan Azizah) tak dapat hadir sebab dia positif Covid-19 hari ini. Kami baru dimaklumkan pagi tadi dan semua program terpaksa kita ubah saat akhir,” katanya.

Untuk rekod, lebih 1.2 juta ahli yang layak akan memilih presiden parti dan lima jawatan tertinggi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada mesyuarat di peringkat cabang yang berlangsung Mei ini.

Lima jawatan tertinggi yang akan dipilih pada mesyuarat cabang melalui kaedah satu orang satu undi itu ialah seorang timbalan presiden dan empat naib presiden.

Mengikut sistem baru itu, baki 20 ahli majlis pimpinan pusat (MPP) akan dipilih oleh 2,664 perwakilan pada kongres nasional PKR pada akhir Jun ini.

Setiap cabang akan menghantar kira-kira 12 perwakilan untuk menyertai kongres nasional PKR.

Begitu juga, lima jawatan tertinggi dalam sayap Pemuda dan Wanita iaitu ketua, timbalan ketua dan tiga naib ketua akan dipilih melalui sistem satu orang satu undi semasa pemilihan cabang manakala perwakilan akan memilih 20 exco semasa kongres nasional. – MalaysiaGazette