Lembaga Pengarah Airbus memilih Guillaume Faury yang kini menggalas tugas Presiden Airbus Commercial Aircraft, sebagai bakal Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu.

KUALA LUMPUR – Pengeluar dan penyedia penyelesaian helikopter, Airbus Helicopters menyasarkan untuk menerima 40 tempahan baharu dari rantau Asia Pasifik (APAC) tahun ini, termasuk jangkaan sehingga enam tempahan dari Malaysia.

Ketua Jualan Airbus bagi APAC, Fabrice Rochereau berkata, tempahan itu akan melibatkan model di semua segmen, termasuk helikopter tentera dan sivil.

“Sasaran kami pada tahun ini adalah untuk menjual 40 helikopter di rantau ini. Sehingga Mac 2022, kita telah mempunyai lebih 15 helikopter (terjual),” katanya pada sidang akbar Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 di sini, hari ini.

Acara dwitahunan DSA dan Perkhidmatan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) diadakan selama empat hari bermula hari ini sehingga 31 Mac di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Rochereau berkata, Airbus menerajui pasaran helikopter di Malaysia dengan menyumbang 42 peratus daripadanya.

Dalam segmen ketenteraan, ia memegang 37.8 peratus daripada bahagian pasaran, manakala 30 peratus bagi sivil dan paraawam.

Beliau menjangkakan Airbus akan mengekalkan bahagian pasarannya dengan pasukan dan produk tempatan yang teguh, untuk memenuhi keperluan negara.

“Kami melihat potensi pertumbuhan bagi pasaran ketenteraan dan paraawam Malaysia untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, yang mana permintaan pada masa akan datang, bakal didorong oleh pemodenan armada, pembaharuan, latihan ketenteraan dan keselamatan maritim,” katanya.

Setakat ini, hampir 90 helikopter Airbus telah berkhidmat di negara ini untuk pelbagai misi sivil, paraawam dan ketenteraan.

Ini termasuk sebanyak 12 armada H225M yang telah memenuhi keperluan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sejak 2012.

Baru-baru ini, TUDM mencatat rekod sebagai pemegang jumlah jam penerbangan tertinggi di Asia bagi helikopter tentera Airbus H225M. – Bernama