Mohd Shahar Abdullah

KUALA LUMPUR – Majis Pemulihan Negara (MPN) telah melaksanakan pelbagai usaha untuk bersama-sama membantu kerajaan, kata Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah.

Beliau berkata, sehingga kini pelbagai kejayaan telah dicapai oleh MPN sejajar dengan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) 1.0 yang telah dilancarkan Julai 2021 tahun lalu.

Menurutnya, antara pencapaian itu ialah semua negeri berjaya beralih ke Fasa-4 dengan hampir semua sektor ekonomi telah beroperasi sepenuhnya.

“Pembukaan pelbagai sektor ekonomi ini telah melihat perdagangan luar mencecah lebih RM2 trilion dengan nilai kemasukan bersih pelaburan langsung asing (FDI) melebihi RM50 bilion.

“Ini turut menyumbangkan kepada penguncupan kadar pengangguran kepada 4.2 peratus.

“Kejayaan ini juga turut didorong oleh hampir 98 peratus orang dewasa divaksinasi dengan menerima dua kali suntikan vaksin lengkap,” katanya pada persidangan Dewan Negara di Parlimen, hari ini.

Kata Mohd Shahar, kejayaan itu telah dicapai dengan keberkesanan dalam memberi perlindungan daripada jangkitan lebih teruk melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Kata beliau, ia juga menyaksikan kejayaan Program Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi.

“Program rintis ini telah dilaksanakan bermula 15 November 2021 yang lalu untuk tempoh tiga bulan dan kejayaan program ini akan dilanjutkan sehingga sempadan negara dibuka sepenuhnya kelak,” katanya.

Kejayaan lain, kata beliau, Pakej Pemulihan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), yang mana Pakej Rangsangan Ekonomi kelapan yang diumumkan Jun tahun lalu, sejumlah RM111.37 bilion atau daripada RM150 bilion yang diperuntukan telah disalurkan setakat 31 Disember 2021.

Katanya, pecahan inisiatif utama yang telah disalurkan adalah:

i. RM80 bilion diperuntukan bagi Program Bantuan Pembayaran Balik Pinjaman dan Moratorium.

ii. RM4.6 bilion telah disalurkan bagi Program Bantuan Khas Covid-19 (BKC) yang memanfaatkan 9,950,000 penerima.

iii. RM2.15 bilion telah disalurkan bagi Lanjutan Program Subsidi Upah 4.0.

Selain itu, kata Mohd Shahar, Sekretariat MPN sedang merangka PPN 2.0, yang merupakan satu pelan yang akan dirangka secara lebih komprehensif dan inklusif bagi memastikan pemulihan seterusnya lebih bersifat menyeluruh. – MalaysiaGazette