Emmanuel Macron. Foto: FB Emmanuel Macron.

PARIS – Presiden Perancis, Emmanuel Macron memberi amaran kepada Presiden Joe Biden terhadap peningkatan perbalahan ke atas Rusia.

Bercakap kepada rangkatan televisyen, France 3, Macron berkata, Biden harus mengelak ‘meningkatkan pertikaman mulut dan tindakan’ apabila Presiden Amerika Syarikat (AS) itu menyampaikan ucapan di Warsaw pada Sabtu lalu yang mana beliau menyatakan Vladimir Putin ‘tidak boleh mengekalkan kuasa’ selain menyifatkan Presiden Rusia itu sebagai ‘tukang sembelih’, selepas mengadakan pertemuan dengan pelarian Ukraine

“Tidak sepatutnya menggunakan terma seumpama ini, kerana saya terus bercakap dengan Presiden Putin,” kata Macron yang merupakan sebahagian daripada individu yang terlibat dengan rundingan bagi menamatkan peperangan antara Putin dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.

“Kami mahu menghentikan peperangan yang mana Rusia lancarkan di Ukraine tanpa meneruskan peperangan dan tanpa meningkatkannya. Inilah objektifnya,” tambah beliau seperti dipetik agensi berita, UPI.

Macron berkata, beliau akan menghubungi Putin dalam masa beberapa jam atau hari.

Perunding Ukraine, David Arakhamia menerusi laman Facebook berkata, rundiangan seterusnya antara Ukraine dan Rusia akan diadakan pada Isnin hingga Rabu di Turki.

Berikutan komen Biden itu, pentadbiran beliau berkata, kenyataan mengenai Putin tidak mampu mengekalkan kuasa itu disampaikan tanpa persediaan dan Setiausaha Negara AS, Anthony Blinken menerangkan bahawa tiada ‘tiada strategi pertukaran rejim di Rusia,’. – Agensi