Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

KUALA LUMPUR – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan melaksana strategi sejajar dengan lima teras yang digariskan dalam Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030).

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, dalam konteks kemampanan, MPOB sedang memperkukuh langkah dan mekanisme termasuk pelaksanaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) oleh penanam sawit termasuk pekebun kecil bagi memastikan amalan baik dilaksanakan secara konsisten di keseluruhan rantaian bekalan.

Menurutnya, piawaian MSPO sedang disemak dengan menerapkan prinsip dan kriteria yang lebih ketat sejajar dengan piawaian kemampanan global dan keperluan kebolehkesanan yang dibangunkan.

“Sehingga 28 Februari 2022, sekitar 95 peratus kawasan tanaman sawit di Malaysia telah mendapat Pensijilan MSPO,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Parveez berkata, MPOB juga membantu pekebun kecil dalam pelaksanaan amalan pertanian baik seperti penggunaan baja secara optimum, kawalan perosak dan penyakit yang berkesan, amalan penuaian dan pengurusan ladang untuk mencapai hasil maksimum.

“MPOB menyediakan latihan untuk pekebun kecil melalui khidmat pengembangan dan tunjuk ajar serta melalui kerjasama dengan syarikat perladangan bagi meningkatkan kecekapan dalam pengurusan ladang di samping bimbingan untuk Pensijilan MSPO,” katanya.

Tambah beliau lagi, pekebun kecil akan dibantu untuk melaksananakan penanaman semula, manakala syarikat perladangan digalakkan mengoptimumkan program penanaman semula menggunakan bahan tanaman berhasil tinggi bagi memaksimumkan keuntungan dalam jangka masa panjang.

Ujarnya, MPOB sedang berusaha untuk meningkatkan produktiviti buruh dalam sektor huluan dengan mempergiatkan penyelidikan mekanisasi dan automasi untuk operasi perladangan melalui kerjasama sektor awam dan swasta.

Bagi sektor pertengahan pula katanya, MPOB memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi untuk mengautomasikan keseluruhan proses pengilangan buah sawit, meningkatkan kawalan kualiti di kilang sawit dan kilang penapisan serta penggredan tandan buah segar (BTS) dan proses pembuangan sampah di kilang.

Ini akan disokong oleh bantuan teknikal dan proses pensijilan untuk membantu kilang yang ketinggalan bagi menaik taraf operasi dan kecekapan mereka, katanya.

Jelas beliau lagi, bagi aktiviti hiliran, penyelidikan MPOB memberi tumpuan kepada penghasilan teknologi produk makanan dan bukan makanan berprestasi dan bernilai tinggi seperti tokotrienol, makanan ternakan, produk oleokimia dan bahan api seperti biodiesel.

“Kami menghasilkan teknologi untuk produk berasaskan sawit berkualiti tinggi yang sesuai dengan keadaan iklim tempatan dan negara pengimport untuk pilihan dalam masakan sambil memberikan kelebihan kos dan khasiat pemakanan.

“Produk makanan yang berpotensi termasuk minyak masak dan lemak pepejal serta bahan makanan bernilai tinggi seperti pengganti mentega koko untuk penghasilan coklat, roti dan lemak konfeksi, mentega dan pengganti lemak susu manakala bukan makanan termasuk produk oleokimia dan biobahan api,” katanya.

Ahmad Parveez menjelaskan, DAKN 2030 memastikan industri sawit terus dipacu dan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pendapatan eksport negara di samping meningkatkan kehidupan rakyat khususnya masyarakat luar bandar dengan pengurangan jurang pendapatan dan kadar kemiskinan.

“Strategi MPOB selaras dengan lima teras teras DAKN 2030 – kemampanan, produktiviti, penjanaan nilai, pembangunan pasaran dan keterangkuman akan mempercepatkan perkembangan industri sawit,” tambah beliau. – MalaysiaGazette