Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Kerajaan masih berunding dengan MySJ Sdn Bhd (MySJ) sebagai pemegang lesen aplikasi MySejahtera, mengenai terma dan syarat penggunaan aplikasi itu, menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata perbincangan bersama MySJ itu, termasuk mengenai langkah ke hadapan pengunaan serta penyelenggaraan aplikasi itu.

Beliau berkata, jumlah yang telah dipersetujui MySJ dengan Entomo Malaysia Sdn Bhd (sebelum ini dikenali sebagai KPISoft Malaysia Sdn Bhd) tidak berkaitan dengan perundingan terkini mereka dengan kerajaan.

“Kami belum muktamadkan perundingan itu (dengan MySJ). Kami masih dalam perundingan dan sebaik perundingan itu selesai, kami akan maklumkan apa asas kepada kontrak… tetapi saya perlu untuk selaraskan perkhidmatan yang mereka sediakan.

“Saya boleh maklumkan bahawa faktanya bahawa jumlah yang kami sedang rundingkan dengan MySJ, adalah jauh lebih rendah daripada RM300 juta. Jauh lebih rendah,” katanya.

Beliau berkata kepada media selepas pelancaran buku ‘Systems Thinking: Systems Thinking Analyzes For Health Policy And Systems Development’ oleh Universiti Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (UNU-IIGH) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Media hari ni melaporkan dokumen mahkamah menunjukkan syarikat pembangun MySejahtera (Entomo Malaysia) telah bersetuju untuk memindahkan hak milik intelektual dan lesen perisian aplikasi COVID-19 kepada MySJ untuk RM338.6 juta dalam satu perjanjian sehingga hujung 2025.

Khairy berkata beliau turut berharap rundingan itu dapat dijayakan, agar lebih mudah untuk platform berkenaan dapat terus digunakan.

“Saya dah maklumkan kepada vendor (MySJ) kalau sekiranya kita tidak dapat perjanjian yang adil kepada kerajaan, maka kita boleh pilih vendor lain sebab data (MySejahtera) itu masih disimpan kerajaan.

“Cuma mungkin syarikat yang baru tu perlu buat perjanjian baharu dari segi penyelenggaraan platform. Kita juga dalam proses melihat kepada apa perkhidmatan yang diperlukan untuk jangka masa panjang,” katanya.

Khairy juga sekali lagi menegaskan aplikasi MySejahtera termasuk data pengguna adalah selamat dan kerajaan tidak berkompromi dalam soal keselamatan data. – BERNAMA