Pelakon, Natasha Hudson mengesahkan beliau telah berkahwin dengan jejaka pilihannya, Jay Jasmin.-Pix media sosial

KUALA LUMPUR – Pelakon, Natasha Hudson mengesahkan beliau telah berkahwin dengan jejaka pilihannya, Jay Jasmin.

Pasangan itu disatukan sebagai suami isteri di Masjid Al Umm, Bandar Baru Bangi semalam.

Menerusi perkongsian di Instagram, aktres berusia 39 tahun itu memilih pasangan hidupnya itu kerana mereka berkongsi banyak persamaan.

Difahamkan, Natasha mula berkawan rapat dengan Jay yang berusia lebih muda semasa menyertai aktiviti luncur ombak di Langkawi.

“Tidak perlu perbesarkan kali keberapa perkahwinan ini, saya harap artikel mengenai rumah tangga saya berbaur positif kerana tidak memerlukan negativiti serta publisiti murahan.

“Tolong hormati sensitiviti terhadap semua aspek. Ini kerana kami juga manusia yang punya hati dan perasaan. Dengan hati kecil, kami memerlukan doa dan sokongan daripada semua pihak,” katanya menerusi instastory di laman sosial itu, lapor Harian Metro Online.

Natasha turut memuat naik beberapa keping foto yang dikongsi oleh rakan selebriti dan kenalan yang hadir ke majlis pernikahan mereka itu.

Sebelum ini, Natasha bercerai dengan suami keempatnya, Noor Nashriq pada Oktober 2019 selepas setahun berkahwin.

Pada 2018, Nastasha bercerai dengan bekas suaminya, Carleed Khaza selepas berkahwin pada April 2012. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan.

Sebelum itu, Natasha pernah berkahwin dengan Mohd Faiz pada 2006 namun rumah tangga hanya bertahan selama empat bulan.

Natasha kemudian berkahwin dengan Datuk Shahrin Zahari pada Julai 2007 namun, hanya bertahan dua tahun sahaja dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan. – MalaysiaGazette