Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Sany bercakap kepada media pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-17 dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 28 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Projek perolehan enam buah kapal tempur pesisir pantai (LCS) perlu diteruskan kerana aset tersebut merupakan keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Panglimanya, Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, pihaknya sudah lama menunggu kapal LCS berkenaan bagi tujuan memperkasakan operasi di pesisir pantai di perairan negara.

“LCS sebagai mana kita tahu, syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) ada masalah sedikit. Kita harap kerajaan buat keputusan sebelum hujung bulan ini sama ada mahu meneruskan projek ini ataupun tidak.

“Tetapi TLDM berpandangan projek berkenaan perlu diteruskan berikutan dah lama sangat kita tunggu (LCS),” katanya ketika ditemui pada Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Perkhidmatan Keselamatan Asia (NATSEC) 2022, di sini, hari ini.

Projek LCS bernilai RM9.128 bilion telah diberikan kepada BNS oleh kerajaan melalui Kementerian Pertahanan pada tahun 2011 dan sejumlah RM6 bilion sudah dibayar bagi tujuan pembinaan keenam-enam kapal berkenaan secara serentak.

Bagaimanapun, sehingga hari ini tiada satu pun LCS yang disiapkan dan diserah kepada TLDM walaupun perjanjian kontrak pada Januari 2014 menggariskan bahawa LCS 1 iaitu dua buah kapal pertama sepatutnya diserahkan kepada kerajaan pada April 2019.

Pada Februari lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua Pegawai Eksekutif syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) yang terbabit dalam kontrak perolehan enam LCS.

Penahanan ini menyusul daripada laporan yang telah dibuat kepada SPRM oleh Presiden Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM), Mohamad Imran Abd Hamid, pada 21 November tahun lalu berhubung projek pembinaan enam kapal LCS yang gagal diserahkan mengikut jadual yang ditetapkan. – MalaysiaGazette