Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melihat aset-aset ketenteraan ketika melawat ruang pameran sambil diiringi Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-17 dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 28 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli berangkat ke Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) 2022 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

Keberangkatan Seri Paduka disambut Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan para pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia serta perwakilan luar negara.

Seri Paduka berkenan meluangkan masa kira-kira dua jam melawat pusat pameran syarikat-syarikat industri pertahanan dari pelbagai negara termasuk tempatan antaranya Deftech DRB-Hicom Defence Technologies Sdn Bhd, Mildef International Technologies dan Turkish Aerospace dari Turki yang merupakan pempamer terbesar kali ini.

Dalam lawatan itu, YDPA turut berkenaan menamakan sebuah prototaip kenderaan berperisai Rentaka 4×4  Mildef yang diilhamkan dari nama sebuah meriam Melayu lama.

Kenderaan seberat lebih 8,000 kilogram itu dihasilkan sepenuhnya dengan menggunakan kepakaran syarikat tempatan, Mildef berupaya digunakan bagi menyuraikan rusuhan selain mampu berperanan sebagai kenderaan orang kenamaan ketika kecemasan.

Seri Paduka turut meluangkan masa melihat secara dekat Pesawat Tanpa Pemandu (UAV) buatan sepenuhnya syarikat anak tempatan Deftech Technologies dan juga UAV Turkish Aerospace di pameran tersebut. – MalaysiaGazette