Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap pada media selepas selesaimenghadiri Majlis Penyerahan Kunci Rumah Ahli Koperasi Perumahan Awam Malaysia Berhad (KOPAMA) di Dewan Rakyat Sungai Mas, Felda Sungai Mas, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 05 MAC 2022.
Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – ASEAN perlu memperkukuhkan kerjasama dan hubungan dalam menangani ancaman serangan siber secara holistik yang mensasarkan negara di rantau ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ancaman siber dan scam dalam talian menunjukkan trend peningkatan dan berada dalam situasi sangat membimbangkan.

Katanya, hampir 70 peratus daripada kes jenayah komersial kini dikategorikan sebagai kes jenayah siber dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan laporan kehilangan wang berjumlah RM2.23 bilion antara 2017 hingga 2021.

“Kerajaan Malaysia akan terus mempertingkatkan pentadbiran dan koordinasi dalam menangani keselamatan siber.

“The International Telecommunication Union (ITU) meletakkan Malaysia di tangga ke lima dalam Indeks Keselamatan Siber Global (GCI) pada tahun 2020 dan nombor dua di rantau Asia Pasifik selepas Singapura,” kata.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Buku Jenayah Cyber di Malaysia “Impak Leluasa Internet dan Cybercrimes di Malaysia pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Wan Abd Aziz.

Menurut Hamzah, keupayaan menghasilkan video, mencari kawan baharu, menyebarkan harapan dan idea di laman media sosial boleh bertukar menjadi alat menyebarkan ketakutan, propaganda maklumat tak sahih, keganasan yang membawa kesan mendalam.

“Kemajuan Kepintaran Buatan (AI) dan ilmu teknologi ke hadapan kini mudah diakses untuk menyebarkan maklumat yang telah dipalsukan. Kesemua perkara berkenaan berlaku disebabkan perkembangan teknologi terkini dan ke hadapan,” ujarnya

Bagaimanapun, tambah beliau, masalah tidak hanya bersandarkan kepada teknologi sahaja kerana  kelakuan manusia juga berubah menjangkaui masa dan teknologi.

“Sementara kita melangkah ke arah masa depan hidup bersama teknologi, bandar pintar dibina dan data kritikal dihantar dalam pengkalan data internet untuk pengesanan waktu tepat, memantau dan bertindak balas, sekaligus membuktikan keselamatan siber perlu diutamakan dalam ekosistem digital,” katanya. – MalaysiaGazette