Muhammad Ariq Mikhail memerlukan RM90,000 bagi menyelamatkan nyawanya.

SEBERANG PERAI – Seorang ibu tunggal merayu bantuan orang ramai menyalurkan sumbangan bagi menyelamatkan anak bongsunya yang kini bertarung nyawa akibat masalah jantung.

Amirah Adibah Rejab, 37, berkata, anaknya Muhammad Ariq Mikhail Mohd Faizal yang berusia 25 hari itu perlu menjalani pembedahan segera susulan mempunyai kecacatan jantung sekali gus mengakibatkan oksigen tidak dapat dibekalkan ke seluruh badannya.

Jelas wanita itu, ketika hamil lima bulan doktor mendapati kandungan mempunyai masalah tulang belakang (slip disc) namun pemeriksaan Amniosentesis mendapati bayi selamat.

“Ketika mahu bersalin, kepala bayi didapati tidak berada dalam posisi yang betul sekali gus memerlukan saya bersalin secara pembedahan.

Amirah bersama bekas suaminya meminta bantuan One Hope Charity untuk membiayai dan mengutip dana bagi pembedahan anak bongsu mereka.

“Sebaik dilahirkan doktor mendapati tumbesaran tulang jari dan alat kelamin Muhammad Ariq Mikhail tidak sempurna sebelum dia disahkan mempunyai kecacatan jantung yang mengakibatkan oksigen tidak dapat dibekalkan ke seluruh badan.

“Satu pembedahan segera perlu dilakukan untuk menyelamatkan nyawanya namun saya tidak mampu menanggung kos pembedahan berjumlah RM90,000,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah Amirah, status sebagai ibu tunggal yang mengharapkan nafkah daripada bekas suami semata-mata untuk menguruskan dua lagi anak berusia lima dan enam tahun turut menyebabkan dia tidak mampu membiayai kos pembedahan anaknya itu.

“Susulan itu, kami meminta bantuan daripada daripada pertubuhan kebajikan, One Hope Charity and Welfare (One Hope Charity) bagi mengumpul dana kos perubatan Muhammad Ariq Mikhail berjumlah RM90,000,” katanya yang menetap di Sungai Petani, Kedah.

Sementara itu, Pengerusi pertubuhan kebajikan, One Hope Charity, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihak hospital mengesahkan Muhammad Ariq Mikhail kini bertarung nyawa susulan mempunyai masalah jantung.

“Pihak keluarga memberi kebenaran kepada kami untuk mengumpul kos perubatan dari orang awam sekali gus menguruskan rawatan bayi mereka,” katanya.

Sehubungan itu, sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun bank One Hope Charity & Welfare 3201428817 (Public Bank) atau menerusi laman sesawang www.onehopecharity.org.

Orang ramai boleh menghubungi talian 016 419 2192, 019 232 2192 atau 04 539 9212 untuk maklumat lanjut. – MalaysiaGazette