Ahli Jawatankuasan Tertinggi Pusat DAP yang dipilih oleh perwakilan pada Kongres Ke-17 Parti Tindakan Demokratik (DAP) di IDCC Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 20 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Bagi memastikan DAP benar-benar menjadi sebuah parti berbilang kaum lebih ramai masyarakat bukan Cina diperlukan untuk menjadi ahli parti tersebut.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang baru dilantik, Syahredzan Johan, 39, berkata, menjadi aspirasi kepada parti tersebut menambahkan keahlian bukan Cina.

Ini bagi menghindari imej bahawa DAP merupakan sebuah parti Cina seperti anggapan banyak pihak.

Syahredzan Johan

“Untuk kita pastikan bahawa DAP ini benar-benar satu parti yang berbilang kaum aspirasi kita memang untuk memperbanyakkan lagi kaum selain daripada kaum Cina.

“Tetapi untuk menjadikan aspirasi itu sebagai realiti kita perlukan lebih ramai orang Melayu, orang bukan Cina untuk masuk dalam DAP.

“Supaya DAP ini tidak dilihat sebagai satu parti Cina, atau parti bukan Melayu sahaja tetapi melihat DAP ini sebagai satu parti yang benar-benar berbilang kaum,” katanya.

Tegas Shahredzan yang merupakan seorang peguam, walaupun secara realiti ketika ini DAP didominasi oleh kaum Cina namun parti itu amat terbuka kepada semua bangsa.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara Skop MG kendalian Haslina Ar Kamaludin bertajuk Kenapa saya pilih DAP.

“Memang saya sedar bahawa, kita dalam DAP tidak boleh lari dari kenyataan bahawa Melayu dalam DAP memang minoriti.

“Tetapi apa yang saya ingin tekankan bahawa dalam parti ini, peluang tetap diberikan kepada minoriti, untuk mana-mana orang yang mahu menyumbang kepada parti.

“Sekiranya parti melihat orang tersebut mempunyai potensi, mereka akan angkat dan beri peluang,” katanya.

Syahredzan yang menyertai DAP sebulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 tewas dalam pemilihan CEC DAP baru-baru ini tetapi beliau kemudiannya dilantik ke jawatan tersebut.

Menurut Syahredzan, walaupun pernah menjadi Ahli Kelab UMNO Luar Negara ketika zaman belajar di universiti dan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO pada 2006 beliau akhirnya memilih DAP berbanding parti lain.

Katanya, DAP dilihat lebih sesuai dengan pendiriannya ketika berada dalam Majlis Peguam yang memperjuangkan isu demokrasi, hak asasi dan hal-hal berkaitan Perlembagaan.

“Jujur saya katakan pada masa itu saya tidak pernah fikirkan UMNO sebagai satu wadah perjuangan yang saya nak masuk.

“Hanya bila saya sudah lama dalam Majlis Peguam baru saya sedar kalau kita nak buat perubahan yang besar dalam negara, kita perlu membuatnya melalui platform politik.

“Masa saya di Majlis Peguam saya kritikal dengan kerajaan jadi hendak masuk parti kerajaan menang tidaklah. Saya lihat PKR, Amanah dan DAP, saya lihat nilai dan prinsip perjuangan DAP paling serasi dengan perjuangan saya dalam Majlis Peguam,” katanya.

Syahredzan yang merupakan Setiausaha Politik Lim Kit Siang berkata, beliau tidak pernah menyesal menyertai DAP. – MalaysiaGazette