Petrus Shitembi. Foto Facebook Terengganu FC.

KUALA LUMPUR – Pemain tengah Terengganu FC II, Petrus Shitembi menyifatkan gol pertama yang dijaringkan pada Jumaat lalu dalam aksi Liga Premier menyuntik kembali semangatnya untuk memulakan musim 2022 dengan lebih cemerlang selepas satu musim diketepikan ekoran kecederaan.

Shitembi berjaya menjaringkan satu gol dalam penampilan pertamanya pada musim ini ketika menentang Perak FC sekali gus menyuntik semangatnya untuk kembali bangkit selepas berdepan kecederaan ACL pada tahun lalu.

Sudah pasti, ia bukan mudah untuk mendapatkan tahap kecergasan yang lebih baik apatah lagi kecederaan pada musim lalu adalah yang paling teruk pernah dihadapi oleh pemain dari Namibia ini.

“Pertama sekali, saya rasa sangat gembira apabila dapat kembali bersama pasukan cuma masih dalam proses untuk menyesuaikan diri dan perlu fokus perlawanan demi perlawanan.

“Yang penting, sudah tentu saya rasa teruja apabila dapat mulakan saingan dengan jaringan gol dan ini pula merupakan sentuhan pertama saya atas padang apabila musim lepas tidak berpeluang untuk beraksi.

“Tetapi, saya sentiasa katakan kepada diri saya bahawa perjalanan masih lagi jauh tetapi saya cuba untuk beransur-ansur mendapatkan balik kecergasan yang lebih baik.

“Rasa bersyukur apabila dikelilingi dengan orang yang sentiasa menyokong saya dan memahami situasi yang pernah saya hadapi sebelum ini selain menerima saya untuk kembali ke dalam pasukan”, jelasnya.

Tidak terlalu memikirkan peluangnya untuk bersama skuad utama Terengganu FC, Shitembi hanya ingin fokus untuk mendapatkan seberapa banyak minit permainan selain mahu bebas daripada sebarang kecederaan.

Dia sedar persaingan yang sengit di posisi tengah apabila Habib Haroon hadir sejak musim lalu bagi mengisi posisi yang ditinggalkannya, namun percaya dengan percaturan barisan kejurulatihan untuk memilih pemain terbaik demi pasukan.

“Saya bersyukur apabila dapat bersama pasukan yang memiliki pemain berkualiti, dan saya rasa sesiapa sahaja yang diberi peluang, mesti akan melakukan yang terbaik.

“Saya pula tidak terlalu memikirkan mengenai perkara itu sebab sasaran saya adalah untuk bermain apatah lagi sudah lama tidak beraksi.

‘Jadi, tiada yang lebih daripada itu dalam fikiran saya sekarang kecuali hanya ingin mendapatkan kecergasan balik dan bantu pasukan tidak kira di pasukan utama atau Terengganu FC II”, tambahnya. – MalaysiaGazette