Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

SHAH ALAM – UMNO tidak patut menyalahkan Pas mahupun mana-mana pihak sebagai punca Muafakat Nasional (MN) semakin goyah.

Sebaliknya menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, semua pihak mempunyai sumbangan tertentu memastikan Perikatan Nasional (PN) berjaya menubuhkan kerajaan sebelum ini.

Katanya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga mempunyai sumbanganya sendiri apabila keluar daripada Pakatan Harapan (PH), sekali gus membolehkan UMNO dan Pas menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Semua orang ada sumbangan, kita harus akui contohnya Bersatu tanpa mereka keluar daripada PH sama ada UMNO atau Pas tidak akan boleh jadi kerajaan jadi semua pihak harus hargai sumbangan pihak-pihak yang ada.

“Bagi saya, lebih baik kita tengok ke hadapan daripada kita menyalahkan satu sama lain akhirnya tidak ada jalan penyelesaian,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Rakan Alam Sekitar 2.0 dan Majlis Penutupan Program ‘Sustain The World Virtual Camp 2022’.

Tuan Ibrahim berkata demikian bagi mengulas dakwaan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan yang dipetik sebagai berkata, Pas merupakan punca usaha MN tergendala sehingga hari ini.

Terdahulu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata wujud pihak tertentu dalam UMNO yang menyebabkan kerjasama MN  tergendala sehingga sekarang.

Hadi mendakwa, pihak tertentu berkenaan mempunyai kepentingan sendiri dan mahu mengubah agenda perpaduan yang dipersetujui di antara Pas dan UMNO.

Mengulas lanjut Ahmad menyarankan agar semua pihak menumpukan usaha untuk mewujudkan muafakat di antara umat.

“Pas mengharapkan supaya semua pihak untuk bergerak ke arah mewujudkan muafakat umat tanpa kita menyalahkan satu sama lain, itu lebih baik daripada kita meletakkan beban orang itu salah, orang ini salah

“Baik kita bergerak ke hadapan bagaimana umat boleh disatukan,” tambah beliau. – MalaysiaGazette