Mohd Shahar Abdullah

KUALA LUMPUR – Hanya 8.9 peratus daripada jumlah kes kebankrapan adalah disebabkan hutang kad kredit yang direkodkan Jabatan Insolvensi daripada tahun 2017 hingga 2021.

Jumlah kes kebankrapan itu menyaksikan penurunan berbanding lebih 1,000 kes pada 2017 kepada 438 kes tahun 2021.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, bilangan itu hanya merangkumi 0.005 peratus daripada jumlah pemegang kad kredit utama.

“Bagi mengawal tahap keberhutangan pemegang kad kredit, Bank Negara Malaysia (BNM) telah memperkenalkan beberapa syarat pemberian kad kredit untuk memastikan hanya pengguna yang berkemampuan sahaja diberikan.

“Kelayakan pendapatan minimum untuk pemegang kad kredit dinaikkan daripada RM18,000 setahun kepada RM24,000 setahun sejak Mac 2011.

“Pemegang kad kredit berpendapatan RM3,000 sebulan atau kurang hanya boleh memiliki daripada dua pengeluar kad sahaja serta mempunyai had maksimum kredit tidak melebihi dua kali ganda pendapatan bulanan pemegang kad bagi setiap pengeluar,” katanya di Parlimen hari ini.

Mohd Shahar berkata, institusi kewangan tidak dibenarkan menaikkan had kredit pemegang kad tanpa mendapatkan persetujuan mereka terlebih dahulu.

Katanya, institusi kewangan pula dikehendaki mempertimbangkan situasi pemegang kad kredit yang menghadapi kesukaran untuk membayar balik pinjaman akibat kesihatan, pengangguran atau sebab munasabah yang lain dan menawarkan pelan pembayaran balik alternatif yang sesuai dengan keadaan serta situasi kewangan pemegang kad kredit.

Selain itu, kata beliau, pemegang kad yang menghadapi masalah kewangan dan kesukaran untuk membayar balik pinjaman boleh menghubungi Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK).

“Ini bertujuan untuk mendapatkan khidmat nasihat kewangan ataupun bantuan pembayaran semula hutang.

“AKPK menyediakan pelan pembayaran semula pinjaman untuk pemegang kad kredit melalui rundingan dengan institusi kewangan,” katanya. – MalaysiaGazette