Tan Sri Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalin kerjasama dengan rakan strategik di Asia Tenggara bagi membanteras penipuan siber.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, penipuan siber bukan hanya berlaku di Malaysia, sebaliknya ia adalah fenomena seluruh dunia.

“Disebabkan itu, kolaborasi ini sentiasa wujud dalam kalangan pihak berkuasa antara negara kerana kita sama-sama mahu mencegah dan mengatasi penipuan internet,” kata.

Beliau menyatakan demikian pada majlis Pelancaran Buku Jenayah Siber di Malaysia: Impak Leluasa Internet pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) 2022, di sini, hari ini.

Sementara itu, Acryl Sani mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan sebarang panggilan telefon yang mendakwa mereka adalah pihak berkuasa.

“Penjenayah scammer ini akan mendakwa mereka adalah penjawat awam daripada PDRM, Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN) dan Bank Negara dengan menyatakan siasatan berlaku di bawah pelbagai akta termasuk pengubahan wang haram (AMLA), akta pengganas, Akta Dadah Berbahaya, penyeludupan senjata api.

“Kita tidak akan telefon untuk temubual, minta nombor akaun, nombor pin dan sebagainya. Penjenayah siber sukar untuk dikesan kerana mangsa didapati lewat menyedari mereka ditipu dan membuat laporan,” ujarnya.

Katanya, terdapat banyak kes penipuan membabitkan mangsa membuat laporan seminggu selepas mereka sedar ditipu, namun jejak jenayah sudah hilang dan duit yang dihantar ke dalam akaun keldai telah dikeluarkan suspek. – MalaysiaGazette