Pegawai Eksekutif Aerospace Industries (TAI), Profesor Temel Kotil bercakap kepada media pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-17 dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 29 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Syarikat aeroangkasa antarabangsa, Turkish Aerospace Industries (TAI) komited menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan membangunkan pusat pembuatan dan hab pengedaran produk mereka di rantau Asia Tenggara.

Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace, Prof. Temel Kotil memilih Malaysia kerana yakin dengan keupayaan anak watan dan kagum dengan kepakaran tempatan dalam bidang elektronik.

Katanya, Turkish Aerospace yang berpangkalan di Ankara itu berpengalaman selama 20 tahun dalam bidang pembuatan produk pertahanan aeroangkasa dan ingin berkongsi pengalaman dan kemahiran bersama Malaysia.

“Di Turki, kami habiskan banyak masa dan wang dalam tempoh 20 tahun untuk membangunkan spektrum penuh produk TAI, sekarang kami ada sekitar 1,000 orang jurutera untuk penyelidikan dan pembangunan produk helikopter sahaja.

“Kami mahu bawa pengalaman itu dan kongsikan dengan Malaysia kerana kami mahu Malaysia juga maju bersama dalam industri pertahanan.

“Seperti kata presiden kami, jika kita menanam buah epal 20 tahun lalu sekarang pokoknya sudah berbuah, jadi kami ingin Malaysia turut menikmati buah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bercakap dalam sidang media di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (Natsec) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

Temel menambah pihaknya telah membuka sebuah pejabat urusan TAI Malaysia di Cyberjaya sejak empat bulan lalu dan telah melantik sekitar 50 orang jurutera tempatan untuk membangunkan sistem perisian dan avionik versi global.

Menurut beliau, pihaknya turut berkolaborasi bersama dengan DRB-Hicom Defence Technologies Sdn Bhd (Deftec) dan beberapa agensi berkaitan dan institusi tempatan untuk membangunkan sistem avionik tersebut dan beberapa produk lain seperti dron tanpa pemandu (UAV).

“Turkish Aerospac turut mengadakan perbincangan dengan beberapa negara serantau tetapi memberi perhatian istimewa terhadap Malaysia kerana sangat percaya dengan keupayaan yang dimilikinya.

“Kerajaan Malaysia telah membuat banyak pelaburan untuk membangunkan program aeroangkasa tempatan daripada selenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) ,reka bentuk dan kami berharap boleh menjadi pembuat di sini.

“Itulah polisi kerajaan anda dan kami mahu menyokong polisi tersebut secara berterusan menerusi kerjasama ini.

“Kami akan pastikan kami mampu untuk menghasilkan produk pertahanan kami di sini, daripada pemasangan sehingga pembuatan bermula di Malaysia, itulah sasaran kami,” jelasnya.-MalaysiaGazette