Antara wakil penduduk Kampung Sri Makmur yang memegang plakad selepas menghantar memorandum kepada wakil Menteri Besar berikutan isu campur tangan berhubung pengusiran kawasan kediaman mereka di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 30 MAC 2022.

SHAH ALAM – Kira-kira 22 keluarga Kampung Sri Makmur, Taman Sri Gombak, Gombak menggesa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari campur tangan berhubung arahan pengusiran penempatan setinggan oleh pemaju di atas tanah yang diduduki sejak 30 tahun lalu.

Pengerusi Persatuan Perantau Sri Makmur, Noora Mustafa berkata, sebelum pengusiran itu dibuat, pihaknya merayu agar kerajaan negeri dapat memberikan tawaran penempatan semula dengan jumlah pampasan lebih sesuai dan kos-kos sampingan.

“Kerajaan Negeri seharusnya tidak mempunyai masalah memberikan tawaran lebih munasabah kepada penduduk memandangkan tuntutan kami agak lazim.

“Tambahan pula tanah yang diambil akan digunakan untuk pembangunan rumah yang membawa keuntungan lumayan,” katanya pada sidang media di luar pekarangan bangunan Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini, hari ini.

Terdahulu Noora bersama 40 penduduk Kampung Sri Makmur, Taman Sri Gombak menyerahkan satu memorandum rayuan kepada Menteri Besar Selangor menerusi Ketua Setiausaha Sulitnya, Mohd Hidayat Mohd Saufii.

Mohd Hidayat memberi jaminan pihaknya akan maklum balas mengenai perkara tersebut kepada penduduk terbabit dalam tempoh 48 jam.

Dalam pada itu, Noora memberitahu, penduduk terlibat sebelum ini ditawarkan pampasan rumah sebanyak RM35,000 namun ia diberikan secara bersyarat, iaitu perlu melepasi permohonan pinjaman perumahan.

Antara wakil penduduk Kampung Sri Makmur menyerahkan memorandum kepada Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar, Mohd Hidayat Mohd Sauffi berikutan isu campur tangan berhubung pengusiran kawasan kediaman mereka di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 30 MAC 2022.

“Oleh itu kami memohon penempatan sementara di Kampung Sri Makmur dengan pampasan RM150,000 sekiranya pembangunan kondominium mewah dibuat di situ.

“Kami juga memohon bayaran sewa rumah RM700 sebulan sehingga penempatan semula kediaman kami siap dibina.

“Kerajaan negeri juga perlu menanggung sepenuhnya kos pemindahan keluar dan masuk,” katanya.

Pihaknya juga memberi pilihan kedua agar penduduk setinggan itu diberikan penempatan di Rumah Selangorku Pangsapuri Sri Temenggong pada harga RM150,000 dan ke bawah.

“Kami memohon agar penempatan semula ini di mana-mana pangsapuri yang tersedia sekitar kawasan Gombak,” katanya.

Untuk rekod, kes ini yang dibawa oleh pihak pemaju terbabit masih dalam perbicaraan di mahkamah sejak 2019. – MalaysiaGazette