Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Bukan sahaja kes jangkitan positif menurun, jumlah negeri yang merekodkan penggunaan katil bagi kes kritikal Covid-19 di hospital juga menunjukkan pengurangan.

Mengikut laporan Kementerian Kesihatan (KKM), kes positif yang direkodkan semalam menurun kepada 15,215 kes, manakala tiga negeri sahaja masih menggunakan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) melebihi paras atau sama 50 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bagi kes baharu positif, 250 daripadanya adalah kes import yang melibatkan 227 warganegara dan 23 bukan warganegara.

Katanya, bagi kes sembuh pula menyaksikan sebanyak 24,154 kes dengan kes tempatan sebanyak 14,965 kes iaitu 14,339 warganegara dan 626 bukan warganegara.

“Bagi kes yang memerlukan rawatan di ICU ialah 282 kes, manakala yang memerlukan bantuan pernafasan sebanyak 176,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, tiga negeri yang masih mencatatkan penggunaan katil bagi kes kritikal di ICU ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya menurun kepada 67 peratus, diikuti Selangor 53 peratus dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 50 peratus.

“Sebelum ini, KKM merekodkan lima hingga enam negeri, tetapi sejak tiga hari lalu, berlaku penurunan bagi jumlah negeri.

“Begitu juga penggunaan katil bukan ICU turut berkurangan kepada empat negeri iaitu Putrajaya (89%), Selangor (69%), Melaka (54%) dan WP Kuala Lumpur (53%).

Sementara itu, menurut Dr. Noor Hisham, daripada 15,215 kes harian yang dilaporkan semalam, kategori 1 ialah 7,446 kes, diikuti kategori 2 (7,635 kes), kategori 3 (60 kes), kategori 4 (26 kes) dan kategori 5 (48 kes).

Katanya, daripada 134 kes Covid-19, kategori 3, 4, dan 5 yang baharu dilaporkan semalam ialah 48 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 50 kes telah menerima dua dos vaksin, tetapi belum menerima dos penggalak. – MalaysiaGazette