Bank Negara Malaysia due diligence land purchase procurement Lot 41 1MDB rationalisation plan
Bank Negara Malaysia. - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) mencatat jumlah aset sebanyak RM551.61 bilion pada 31 Disember 2021 berbanding RM488.04 bilion pada tahun sebelumnya.

Sebahagian besar atau 88 peratus daripadanya terdiri daripada portfolio rizab antarabangsa yang berjumlah RM486.85 bilion (2020 : RM432.37 bilion).

“Liabiliti bank berpunca terutamanya daripada deposit oleh institusi kewangan (RM159.89 bilion) manakala mata wang dalam edaran (RM150.07 bilion),” katanya dalam Laporan Tahunan BNM 2021 yang dikeluarkan hari ini.

Pada tahun lepas, BNM menjana pendapatan berjumlah RM14.73 bilion (2020: RM13.49 bilion), selepas ditolak kos berkaitan dengan pengurusan portfolio rizab antarabangsa dan kos menjalankan operasi monetari.

“Bagi 2021, BNM menjana keuntungan bersih selepas cukai berjumlah RM12.80 bilion (2020: RM10.24 bilion). Daripada jumlah ini, RM7.80 bilion akan diagih kepada Kumpulan Wang Rizab Am (2020: RM6.24 bilion).

“Baki keuntungan bersih sebanyak RM5 bilion (2020: RM4 bilion akan dibayar kepada kerajaan sebagai dividen.

“Daripada jumlah pendapatan ini, BNM mengeluarkan perbelanjaan untuk mengurus dan mentadbir operasi (perbelanjaan berulang) dan perbelanjaan untuk membiayai projek pembangunan dan projek jangka panjang selaras dengan objektif dan fungsi utama bank (perbelanjaan pembangunan),” katanya.

Menurut BNM, ini termasuk perbelanjaan yang melibatkan operasi mata wang dan perbelanjaan untuk menyelenggara infrastruktur pembayaran negara.

Pada 2021, BNM berkata, perbelanjaan berulang dan perbelanjaan pembangunan ini berjumlah RM1.89 bilion (2020 : RM3.22 bilion).

“Meskipun BNM merupakan sebuah badan berkanun, BNM tidak bergantung kepada dana awam daripada kerajaan untuk membiayai operasi harian. Sebaliknya, operasi bank ini dibiayai oleh pendapatan yang diperoleh daripada pelaburan bank dalam rizab antarabangsa negara,” katanya.

BNM turut mengurus kewangannya dengan matlamat untuk memastikan bank mempunyai sumber bagi melaksanakan mandatnya iaitu menggalakkan kestabilan monetari dan kewangan yang kondusif bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan.

“Dalam melaksanakan mandat ini, BNM komited untuk bertanggungjawab, berhemat dan berdisiplin dalam pengurusan sumber bank,” katanya. – Bernama