Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) berkata bank-bank mampu menghadapi kejutan makroekonomi dan kewangan yang teruk serta terus berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong pemberian pinjaman kepada perniagaan dan isi rumah apabila ekonomi pulih.

Di dalam laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan – Separuh Kedua 2021 yang dikeluarkan hari ini, BNM berkata, ia menilai daya tahan institusi kewangan menggunakan ujian tekanan yang merupakan bahagian penting dalam rangka kerja kestabilan kewangan bank pusat.

“Keputusan ujian tekanan mengesahkan penampan modal institusi kewangan kekal berdaya tahan meskipun mengalami simulasi kejutan yang teruk,” katanya.

Secara keseluruhan, BNM berkata, nisbah modal sistem perbankan kekal selesa melebihi paras minimum pengawalseliaan.

“Hampir semua bank mengekalkan nisbah modal melebihi sasaran modal dalaman mereka, walaupun sebanyak 25 bank (daripada 53 bank) diunjurkan mencatatkan kerugian tahunan semasa tempoh ujian tekanan.

“Hanya dua bank (mencakupi hanya 0.5 peratus daripada jumlah aset sistem perbankan) diunjurkan tidak mematuhi keperluan modal pengawalseliaan minimum di bawah senario-senario buruk ini,” katanya.

Sementara itu bagi penanggung insurans, ujian tekanan seluruh industri menggunakan pendekatan dari bawah ke atas turut dijalankan pada separuh kedua 2021 untuk menilai keupayaan penyumberan luar teknologi maklumat (ITO) dalam menguruskan risiko mudah tunai yang berpunca daripada peristiwa risiko insurans yang teruk tetapi tidak mustahil.

Peristiwa ini termasuk senario banjir dengan tahap keterukan 1 dalam 200 tahun.

“Keputusan ujian tekanan ini mengesahkan keupayaan ITO untuk memenuhi obligasi tunai mereka di bawah senario buruk sedemikian.

“Keputusan ini selaras dengan penilaian makro BNM yang menggunakan pendekatan dari atas ke bawah terhadap keupayaan penanggung insurans untuk memenuhi keperluan mudah tunai jangka pendek di bawah keadaan tekanan dengan disokong oleh pemegangan aset mudah tunai yang mencukupi,” katanya.

Di samping itu, BNM berkata kesan sebenar terhadap institusi kewangan di bawah senario tekanan dijangka kurang teruk dan akan bergantung pada pelbagai faktor termasuk bantuan bayaran balik pinjaman yang berterusan oleh institusi kewangan untuk menyokong isi rumah dan perniagaan serta pemulihan pinjaman terjejas. – Bernama