Ahmad Amzad Hashim

KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) mewujudkan Dasar Angkasa Negara 2030 bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam pembangunan sektor angkasa.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, MYSA sedang membangunkan satu rangka tindakan sektor angkasa yang komprehensif iaitu Malaysia Space-X 2030.

Katanya, rangka tindakan itu menggariskan strategi 10 tahun untuk memacu pertumbuhan serta mewujudkan ekosistem sektor angkasa negara yang komprehensif.

Menurut beliau, antara inisiatif utama yang sedang dirancang dan dilaksanakan di bawah Malaysia Space-X 2030 ialah:

– Program Pembangunan Satelit Penderiaan Jauh Negara (PSPJN) iaitu inisiatif pembangunan teknologi satelit buatan tempatan melalui kerjasama strategik antara kerajaan dan industri.

– Pembangunan Pelan Strategik Industri Angkasa Negara 2030 berdasarkan hasil Kajian Industri Angkasa dengan matlamat untuk memacu industri angkasa tempatan menjadi lebih kompetitif dan berdaya saing.

– Pengukuhan jaringan kerjasama antarabangsa dalam bidang teknologi angkasa melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan agensi kecemerlangan di kalangan negara-negara maju.

– Pembangunan kapasiti dan penyelidikan dalam pembangunan sistem aplikasi, infrastruktur teknologi angkasa serta Sistem Satelit Navigasi Global (GNSS) merangkumi Fasiliti Pemasangan, Integrasi dan Pengujian Satelit serta Fasiliti Kawalan Misi Satelit di Banting, Selangor dan Stesen Penerima Data Satelit di Temerloh, Pahang.

“Kita yakin melalui inisiatif Malaysia Space-X 2030 ini, ekosistem pembangunan sektor angkasa negara yang kondusif dapat diwujudkan.

“Ini seterusnya mampu menyumbang kepada sasaran pertumbuhan ekonomi sebanyak 0.3 peratus atau RM3.2 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya pada sidang Dewan Negara, hari ini.

Menurut Ahmad Amzad, ia akan mewujudkan sehingga 5,000 peluang pekerjaan baharu serta sasaran menduduki tangga ketiga sebagai pemain industri angkasa dalam kalangan negara Asia Tenggara menjelang 2030. – MalaysiaGazette