Risto Vidakovic (tengah).

KUALA LUMPUR – Melaka United FC tidak akan memandang rendah kemampuan pasukan Liga M3, PIB FC apabila turun berentap di Stadium Hang Jebat pada pusingan pertama Piala FA 2022, esok.

Pengendalinya, Risto Vidakovic, sedar pasukan dari liga amatur sering kali bermotivasi tinggi untuk mencipta kejutan bagi menunjukkan keupayaan mereka bersaing dengan kelab-kelab elit.

Justeru, beliau berharap apa terjadi kepada Sri Pahang FC pada minggu lalu yang diheret ke penentuan sepakan penalti semasa bertemu Manjung City FC sebelum melayakkan diri, tidak akan berlaku kepada Melaka United.

“Saya mengingatkan para pemain agar menghormati lawan seperti mana pasukan lain semasa di Liga Super dan berikan yang terbaik di atas padang.

“Jangan sama sekali memperendahkan kemampuan mereka kerana kebiasaannya, lawan dari liga lebih bawah ini akan ada satu perasaan motivasi yang luar biasa.

“Jadi, jika kita tidak berhati-hati, mereka boleh mengejutkan kami dan saya tidak mahu perkara itu terjadi kerana saya mahu membawa Melaka melangkah jauh di pertandingan Piala FA,” katanya.

Aksi antara Melaka United dan PIB sepatutnya berlangsung pada 12 Mac lalu tetapi terpaksa ditunda ekoran sebahagian besar pemain serta pegawai Melaka United mendapat jangkitan Covid-19.

Melaka United setakat ini bermula perlahan di Liga Super apabila sekadar meraih satu keputusan seri, 1-1 dengan Penang FC selain tewas 0-1 kepada PJ City FC pada perlawanan pembukaan Liga Super.

Vidakovic yang berasal dari Bosnia merupakan pengendali baharu buat Melaka United selepas menggantikan tempat Zainal Abidin Hassan pada awal musim.

Mengenai persiapan pasukan, Vidakovic akan tampil dengan kekuatan terbaik dimiliki Melaka United kerana mahu menguji tahap kecergasan pemain selepas berehat hampir tiga minggu tanpa sebarang perlawanan kompetitif.

“Saya akan meletakkan kesebelasan terbaik yang dimiliki Melaka apabila berdepan PIB kerana mahu memberikan mereka minit permainan yang juga persediaan untuk hadapi Liga Super.

“Selepas pemain telah pulih dari Covid-19, saya harap mereka mampu peraga aksi yang diharapkan kerana pasukan ini masih dalam fasa membina persefahaman pemain.

“Kami bermula agak lewat dari segi persiapan dan harap perlawanan dengan PIB mampu menjadi pemangkin semangat buat kami dalam misi mencari kemenangan sulung,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast