Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk Zambri Yaakob berucap pada Majlis Pelancaran Jubli Emas NAFAS ke-50 di NAFAS, Petaling Jaya. Foto FAREEZ FADZIL, 30 MAC 2022.

PETALING JAYA – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menyenaraikan lima tekad dalam memastikan kekal relevan sebagai induk kepada Pertubuhan Peladang menjelang 2030.

Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob berkata, lima tekad itu merangkumi pembangunan industri padi dan beras, pemasaran input baja dan kimia, pemain utama industri ayam, sumber kekayaan baharu dan kemakmuran keluarga peladang.

Beliau berkata, fokus melengkapkan rantaian nilai industri padi dan beras adalah dengan mewujudkan ladang benih, pengambilalihan loji benih, pengurusan sawah padi berpusat serta pengilangan beras sebagai satu usaha meningkatkan pengeluaran beras negara.

“Nafas sedang ke arah pembangunan, pengeluaran dan pengkomersialan benih padi hibrid Nafas yang dilaksanakan bersama dengan agensi kerajaan berkaitan serta rakan kongsi yang dijangka bermula musim 1/2023.

“Tekad kedua pula adalah memberi fokus kepada penyelidikan dan pembangunan, pengilangan dan pemasaran input baja serta racun sebagai pendapatan baharu Nafas dalam pasaran terbuka.

“Tekad ketiga, fokus melengkapkan rantaian nilai ayam bermula daripada makanan ayam, ternakan ayam hingga ke pemprosesan ayam bagi membolehkan Pertubuhan Peladang menjadi pemain utama industri ayam halal untuk keperluan domestik dan antarabangsa,” katanya

Beliau berkata demikian dalam majlis Jubli Emas 50 Tahun Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di ibu pejabat pertubuhan itu, di sini, hari ini.

Majlis itu dilancarkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Hadir sama, Timbalan Menteri Mafi I, Datuk Seri Ahmad Hamzah, Timbalan Menteri Mafi II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob.

Zamri berkata, tekad keempat iaitu sumber kekayaan baharu pula memberi fokus kepada sektor pertanian baharu seperti ladang nanas MD2 dan durian Musang King di samping memperluas ladang kelapa sawit milik Nafas sebagai satu sumber yang menjamin pendapatan.

“Tekad kelima iaitu kemakmuran keluarga peladang memberikan fokus kepada perkongsian kemakmuran Nafas kepada semua peringkat Pertubuhan Peladang melalui sumbangan, bantuan serta pembangunan kerjaya kepada generasi peladang masa depan,” katanya.

Sementara itu sehingga kini, katanya, hasil kecekapan dan kepakaran Ahli Jemaah Pengarah serta Pengurusan Nafas sudah berjaya memperkembangkan lagi sektor perniagaan melalui syarikat subsidiari.

“Iaitu enam subsidiari 100 peratus milik Nafas, tiga subsidiari dengan pelaburan melebihi 50 peratus serta 11 anak syarikat bagi subsidiari dan syarikat bersekutu,” katanya.

Nafas yang diilhamkan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan ditubuhkan 31 Mac 1972 kini memayungi hampir satu juta ahli peladang di seluruh negara membabitkan 14 Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), dan 279 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK). – MalaysiaGazette