Abd Jalil Hassan
Abd Jalil Hassan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas jika benar terdapat sebarang perlanggaran dalam pengendalian kes keganasan rumah tangga berhubung dakwaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Isnin lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata PDRM juga mengambil perhatian serius terhadap dakwaan keengganan anggota polis menerima laporan kes keganasan rumah tangga.

“Sejak Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 berkuat kuasa pada 1 jun 1996, PDRM telah mengeluarkan beberapa arahan pentadbiran berhubung pengendalian penyiasatan kes-kes keganasan rumah tangga untuk dipatuhi di semua peringkat.

“Ini termasuklah arahan tindakan tatatertib ke atas anggota yang enggan menerima laporan polis kes keganasan rumah tangga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata PDRM memohon KPWKM dan mana-mana pihak terkesan berhubung isu dibangkitkan untuk tampil serta memberi maklumat lebih terperinci supaya siasatan dalaman dapat dijalankan dan tindakan dapat diambil ke atas anggota terlibat jika perkara itu benar berlaku.

Pada Isnin lepas, KPWKM memaklumkan sesetengah anggota polis enggan menerima laporan mangsa keganasan rumah tangga dengan alasan ia adalah isu keluarga.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun dilaporkan berkata pihaknya menasihatkan mangsa untuk segera ke hospital dan mendapatkan laporan perubatan.

Beliau juga dilaporkan berkata laporan daripada hospital dapat diguna pakai supaya pihak polis tidak boleh menidakkan laporan yang mereka buat.

— BERNAMA