KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan aplikasi mudah alih yang dikenali  myPTPTN bagi menyahut agenda pendigitalan negara.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, aplikasi berkenaan membuktikan kemampuan PTPTN membangunkan teknologi digital yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat terutama pelanggannya.

“Pendekatan PTPTN memperkenalkan aplikasi ini (myPTPTN) sangat tepat dengan aspirasi pendigitalan negara.

“Aplikasi mudah alih PTPTN sememangnya sangat dinantikan oleh masyarakat Malaysia dengan memanfaatkan lebih 3.63 juta peminjam dan 5.28 juta pendeposit Simpan SSPN,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran myPTPTN di Damansara hari ini.

Noraini berkata, pelancaran aplikasi berkenaan menunjukkan peningkatan produktiviti apabila pelbagai kemudahan berjaya dimuatkan dalam myPTPTN.

“Antara kemudahan yang disediakan dalam myPTPTN ialah semakan penyata pinjaman, bayaran balik pinjaman, semakan penyata Simpan SSPN, pembukaan akaun dan penambahan deposit Simpan SSPN serta permohonan potongan gaji dan Debit Terus bagi bayaran balik pinjaman dan Simpan SSPN,” ujarnya.

Tambah Noraini, para pengguna tidak perlu bimbang daripada segi keselamatan aplikasi berkenaan kerana segala transaksi terjamin dengan sekuriti yang tinggi.

“Aplikasi myPTPTN dilengkapi teknologi keselamatan terkini, setiap pengguna perlu pengesahan identiti secara elektronik sebelum sebarang urus niaga termasuk pengesahan e-mel, nombor telefon semasa pendaftaran dan Transaction Authorisation Code (TAC),” katanya.

Aplikasi yang boleh dimuat turun menerusi Google Play, Apple App Store dan Huawei App Gallery itu boleh diakses tanpa sempadan dan menjimatkan masa, berbanding sebelum ini yang memerlukan pelanggan melayari portal untuk sebarang urusniaga. – MalaysiaGazette