Suspek mengasari seorang individu di hadapan kedai serbaneka di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. - Foto Google

KUALA LUMPUR – Polis sedang menjejaki suspek yang mengasari seorang individu di hadapan kedai serbaneka 7 Eleven, Jalan Bukit Bintang, di sini, seperti yang tular dalam video klip pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, setakat kini empat orang telah dirakam percakapan dan pihaknya memohon mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini tampil bagi membantu siasatan.

“Pada 29 Mac 2022 jam lebih kurang 15.03, terkesan satu klip video berdurasi 41 saat dimuat naik oleh pemilik akaun TikTok Madamluniey melalui pautan http://vt.tiktok.com/ZSdYYtWEr/ yang menunjukkan seorang individu telah dikasari oleh individu lain di hadapan kedai serbaneka 7 Eleven, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

“Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Dang Wangi telah menjalankan pengesanan ke atas individu yang terlibat sebaik sahaja klip video tersebut tular pada 25.03/2022,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Menurut Noor Dellhan, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah, Inspektor Muhammad Hazim Hussain di talian 019-7749678, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette