Undi18 Sarawak state election polls Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Undi18 voters Election Commission anti-party hopping
Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti perlu dilaksanakan dengan teliti supaya dapat diguna pakai untuk tempoh lama dan tidak mudah untuk dipinda.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perbincangan mengenai perkara itu telah dimulakan kerajaan dengan wakil pembangkang pada 25 dan 30 Januari lalu.

Kata beliau, perbincangan itu melalui Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal, Transformasi dan Kestabilan Politik yang secara prinsipnya bersetuju dengan draf pentadbiran yang disediakan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) bersama Jabatan Peguam Negara.

“Draf ini seterusnya dibentangkan dan dipersetujui Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik yang dianggotai Ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang pada 10 Februari lalu.

“Jawatankuasa ini secara umumnya berpandangan draf pentadbiran ini tidak mempunyai apa-apa kesalahan kerana dirangka dengan teliti dan disertakan justifikasi yang kukuh bagi setiap tafsiran, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk John Ambrose yang meminta Perdana Menteri menyatakan sejauh mana tindakan serta perancangan yang telah dirangka oleh kerajaan dalam melaksanakan RUU Anti Lompat Parti bagi mengelakkan berlaku ketidakstabilan politik dalam negara.

Mengulas lanjut, Dr. Wan Junaidi menjelaskan, kerajaan telah melaksanakan lima sesi libat urus iaitu bersama Ahli-ahli Dewan Rakyat kerajaan dan Ahli-ahli Dewan Negara pada 8 Februari 2022.

Bersama Ahli-ahli Dewan Rakyat pembangkang pada 9 Februari 2022, bersama Majlis Tertinggi Parti di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada 2 Mac 2022, bersama Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu (PPBM) pada 7 Mac 2022 dan bersama wakil Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 8 Mac 2022.

“Sesi libat urus bersama kepimpinan Barisan Nasional (BN) telah diadakan pada 29 Mac lalu dan Perikatan Nasional (PN) dijadualkan 5 April ini.

“Sesi yang dirancangkan pada 28 dan 29 Februari lalu telah ditangguhkan kerana jentera parti hendak memberikan fokus kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan pada 12 Mac lalu,” katanya.

Kata beliau, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac lalu pula memutuskan supaya sesi libat urus bersama parti-parti utama iaitu BN dan PPBM perlu diteruskan bagi menjelaskan perkara dasar berkenaan RUU itu.

Manakala, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Transformasi dan Kestabilan Politik yang akan disertai wakil kerajaan dan pembangkang untuk memperhalusi perkara utama berkenaan RUU itu dijadual bersidang hari ini.

“Pada 24 Mac lalu, saya telah memaklumkan keputusan Perdana Menteri supaya satu Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bagi Membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan berkaitan Anti Lompat Parti dan Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri akan diadakan pada 11 April ini.

“Namun, ianya tertakluk kepada kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang akan diadakan pada 6 April ini,” ujar beliau. – MalaysiaGazette