Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad memberitahu mahkamah bahawa beliau terkejut apabila mendapat arahan untuk meminda dan melupuskan Laporan Pengauditan1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang asal oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Beliau berkata, perkara itu telah dimaklumkan oleh Timbalan Pengarah Audit ketika itu, Datuk Nor Salwani Muhammad.

Namun Madinah ketika di soal balas oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, beliau tidak tahu siapa yang mengeluarkan pindaan itu.

Shafee: Adakah anda ada idea siapakah pelaku bertanggungjawab untuk meminda laporan audit ini?

Madinah: Tidak tahu. Saya tidak tanya kepada Nor Salwani siapa yang memberikan arahan itu. Saya kemudian dijadual mengadakan pertemuan dengan kumpulan pegawai lain di bawah saya.

Arul Kanda Kandasamy.

Mengulas lanjut, Madinah mendakwa, beliau tahu Ambrin telah ditekan namun merasakan perbuatan meminda itu salah, apatah lagi melakukan pindaan terhadap satu laporan yang sudah dimuktamadkan.

Madinah juga mendakwa beliau terkejut apabila mendapat tahu terdapat dua set laporan audit 1MDB, yang mana Ambrin diarahkan meminda laporan asal.

Tambah beliau, Nor Salwani pula menerima arahan memusnahkan salinan yang akan dibentang kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Laporan asal itu sebenarnya di simpan oleh Nor Salwani di bawah kerusinya. Bila saya tahu tentang semua perkara berkaitan pindaan tersebut, saya terus menyimpan laporan asal itu di tempat berkunci dalam bilik saya,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

Beliau menyatakan demikian pada prosiding pindaan terhadap laporan akhir pengauditan 1MDB membabitkan Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Perdana menteri itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Turut didakwa bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Beliau didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kedua-dua mereka didakwa menurut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette