TLDM mengusir empat bot nelayan asing (BNA) yang dipercayai cuba menceroboh perairan negara untuk mengaut hasil laut secara tidak sah di sekitar perairan Pulau Perak, Kedah, semalam. Foto- TLDM

LUMUT – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengusir empat buah bot nelayan asing (BNA) yang dipercayai cuba menceroboh perairan negara, semalam.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut Perak berkata, keempat-empat BNA itu mencuba memasuki perairan Pulau Perak pada jam 5.30 petang bagi mengaut hasil laut negara secara tidak sah.

Jelasnya, penyaluran maklumat yang pantas menerusi Maritime Component Commander (MCC) Barat telah mengatur gerak kapal Diraja (KD) Teguh Samudera ke lokasi pengesanan awal BNA tersebut di sekitar perairan selatan Pulau Perak.

“Setibanya di posisi pengesanan, KD Teguh Samudera melakukan pengusiran ke atas sebuah BNA di lapangan dan kekal membayangi BNA sehingga keluar meninggalkan sempadan perairan negara.

“Manakala baki tiga buah BNA lagi yang dilaporkan dipercayai telah meninggalkan perairan negara setelah menyedari kehadiran dan keberadaan aset pertahanan maritim negara”, katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu, pesawat Beechcraft, B200T milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesan keberadaan empat buah BNA kira-kira 49 batu nautika selatan Pulau Perak.

Menurut kenyataan itu, berikutan itu maklumat pengesanan lantas disalurkan kepada komponen maritim bagi tujuan tindakan lanjut. – MalaysiaGazette