Fazley Ariffin

KUALA LUMPUR – DRB-Hicom Defence Technologies Sdn. Bhd. (Deftech) sedang mengintai peluang untuk mewujudkan sebuah pusat penyelenggaraan dan baik pulih (MRO) trak Iveco Defence Vehicles yang berpangkalan di Itali di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Deftech, Fazley Ariffin berkata, pusat MRO itu berupaya melicinkan segala proses penyelenggaraan trak Iveco itu selepas perolehan dengan memastikan perkhidmatan lebih berkesan dan cekap kepada pelanggan.

Justeru pihaknya telah memeterai satu perjanjian melalui menerusi kerjasama dengan anak syarikat milik penuh Deftech iaitu Defence Sales and Services Sdn. Bhd. bersama Iveco dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 minggu ini.

“Deftech sebenarnya lebih komited untuk menyediakan pasukan pertahanan Malaysia dengan jentera yang kukuh dan boleh dipercayai untuk jangka panjang.

“Malah bekerjasama dengan Iveco sebagai sebuah syarikat yang boleh diyakini dan telah terbukti kemampuannya di peringkat global sekaligus akan meningkatkan kualiti setiap kenderaan secara konsisten kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya ketika ditemui dalam DSA dan NATSEC 2022 di sini hari ini.

Dalam pada itu, tambah Fazley, menerusi kerjasama dengan Deftech dan Iveco Defence Vehicles, pihaknya akan membekalkan sebanyak 150 unit trak tiga tan empat roda GS Cargo kepada ATM tidak lama lagi.

“Manakala bekalan trak GS Cargo dijangka dihantar pada pertengahan tahun 2023.

“Sementara itu, kami juga cuba menyelesaikan segala-galanya untuk kontrak pertama dan kedua membabitkan sejumlah 218 unit GS Cargo yang semuanya diselesaikan sepenuhnya menjelang 2035,” tegasnya.

Fazley menegaskan pusat MRO yang dirancang pihaknya akan membolehkan Iveco menguruskan perkhidmatan kenderaan itu secara langsung dan sebarang potensi kenderaan serta platform tambahan yang akan diperoleh ATM pada masa hadapan.-MalaysiaGazette